Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Bagi meraih ganjaran pahala membaca Al-Quran pada bulan Ramadan, pelbagai pihak di seluruh negara berebut meraih keberkatan 10 terakhir malam Ramadan dengan menganjurkan majlis-majlis keagamaan di negara ini.
Tidak ketinggalan jua di Daerah Brunei dan Muara, pihak Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Belimbing Subok telah mengadakan program bertadarus bagi jemaah masjid tersebut sepanjang bulan Ramadan ini.
Sebagai penutup program tadarus berkenaan, Majlis Khatam Al-Quran bagi jemaah masjid tersebut telah berlangsung kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Penolong Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Asminan bin Haji Chuchu.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan selaku Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Belimbing Subok.




Sementara itu, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Unit Keugamaan dan Takmir Surau, Pejabat Hal Ehwal Pelajar juga telah mengadakan majlis serupa bersempena sambutan Nuzul Al-Quran dan diikuti dengan Majlis Penutup Tadarus serta Iftar Jama’ie dan Penyampaian Derma Anak-anak Yatim Warga UNISSA yang diadakan baru-baru ini, bertempat di Surau Al-Syafi’i, UNISSA.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal. Juga hadir ialah penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, pegawai, kakitangan dan mahasiswa serta mahasiswi yang menetap di Kolej Kediaman UNISSA.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat dan kemudian diikuti dengan bacaan khatam Al-Quran.
Majlis seterusnya dilanjutkan dengan penyampaian sumbangan kepada seramai 31 orang anak yatim warga UNISSA yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Manakala, majlis serupa juga berlangsung di Daerah Temburong, di mana majlis menyaksikan Persatuan Pengakap Daerah Temburong (PPDT) telah mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran dan Majlis Kongsi Nikmat Ramadan.
Hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Persuruhjaya Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali. Beliau kemudianya berkesudian menyampaikan sumbangan hamper serta duit raya kepada empat orang anak yatim yang terdiri daripada kalangan ahli PPDT.
Majlis kemudian diteruskan dengan majlis berbuka puasa bersama Pesuruhjaya PPDT, penolong persuruhjaya dan pemimpin-pemimpin pengakap Ibu Pejabat.
Kedua dua majlis tersebut bukan sahaja meningkatkan usaha kita dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT, malahan amalan bertadarus secara berkumpulan dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli persatuan untuk sentiasa meningkatkan tahap bacaan Al-Quran masing-masing ke tahap yang lebih baik.

