Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Pihak Berkuasa bagi Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dengan kerjasama Mindtrex Academy Sdn Bhd, hari ini telah mengadakan majlis penutup bagi kejayaan kohort pertama dalam Program Perantisan Digital Tech Experience Learning Overseas in a Real Working Environment (TechXPLORE) bertempat di Dewan Seri Kerna, AITI.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Eksekutif AITI, Haji Jailani bin Haji Buntar; Pengarah Urusan Mindtrex Academy Sdn Bhd, Pengiran Mohammad Khairi bin Pengiran Haji Metussin; para peserta TechXPLORE kohort pertama serta pegawai-pegawai kanan AITI dan Mindtrex Academy Sdn Bhd.
Program Perantisan Digital TechXPLORE, sebuah inisiatif oleh AITI, bertujuan untuk menyediakan graduan tempatan dengan peluang untuk merasai persekitaran kerja ICT sebenar di luar negara, meningkatkan kebolehpasaran mereka dan kesediaan untuk tenaga kerja digital. Di luar perkembangan teknikal, program itu juga memberi tumpuan kepada mengukuhkan kemahiran penting di tempat kerja seperti komunikasi, kerja berpasukan, kebolehsuaian dan penyelesaian masalah.
Semasa acara itu, Mindtrex Academy membentangkan gambaran keseluruhan hasil program berkenaan, dengan mengetengahkan bagaimana program itu membuka mata kepada para peserta, kerana mereka berpeluang mengetahui budaya dan industri baharu dan bagaimana peserta menjadi lebih mudah menyesuaikan diri, yakin dan lebih berfikiran global sepanjang perantisan mereka.
Gambaran keseluruhan program diikuti dengan sesi perkongsian pengalaman oleh para peserta, mempamerkan perjalanan pembelajaran individu dan kumpulan mereka, termasuk pertumbuhan teknikal dan peribadi mereka, serta kunci pencapaian mereka sepanjang program.

Kemuncak majlis ialah sesi penyampaian sijil pencapaian oleh ketua eksekutif AITI kepada lima orang peserta sebagai pengiktirafan atas kerja keras dan komitmen mereka sepanjang program.
Para penerima terdiri daripada Pembangun Fullstack dan Ketua Pasukan, Awang Mohamad Adib bin Maimon yang juga pemegang Sarjana Muda Pengkomputeran dalam Perkembangan Perisian; Pembangun Fullstack, Dayang Nurliyana Khairunisa binti Zuliskandar yang juga pemegang Sarjana Muda Sains Komputer; Pereka UI/UX, Awang Mohd Danial Hakim bin Haji Abdul Wahab selaku pemegang Sarjana Muda Perkembangan Permainan Komputer; Jurutera Junior DevOps, Awang Muhammad Wafiy Syahmi bin Shamsuddin selaku pemegang Sarjana Muda Pengkomputeran dalam Pembangunan Perisian dan Pemasaran Digital, Dayang Nurulhuda Asilah binti Haji Asli selaku pemegang Doktor Falsafah (PhD) dalam Media Islam dan Teknologi Komunikasi.
Peserta kohort pertama telah menjalani perantisan selama enam bulan dengan Mindtrex
Academy Sdn Bhd di Bandung, Indonesia, selepas menamatkan latihan asas selama sebulan di pejabat Mindtrex di Brunei. Sepanjang di luar negara, peserta diselia oleh pakar industri daripada rakan kongsi Mindtrex, PT Aegis Ultima Teknologi, dan menyumbang kepada pelbagai projek kehidupan sebenar yang sejajar dengan peranan pekerjaan yang diberikan kepada mereka.
Melalui perantisan tersebut, para peserta berpeluang mengusahakan projek sebenar, yang membolehkan mereka memperoleh kemahiran teknikal yang diperlukan untuk kecemerlangan dalam industri ICT dan seterusnya menentukan perjalanan kerjaya mereka, seperti User Interface and User Experience (UI/UX) Design, Website and App Development, Digital Marketing dan Project Management.
Di samping itu, mereka juga dapat menyesuaikan diri dengan budaya baharu bagi mengukuhkan kunci kemahiran insaniah seperti berdikari, bekerjasama, menyelesaikan masalah dan pengurusan diri.
Program berkenaan berusaha untuk memberi inspirasi kepada graduan tempatan yang lain untuk mengejar dan meningkatkan kemahiran mereka dalam peranan pekerjaan digital yang relevan yang boleh menyumbang secara bermakna kepada perjalanan transformasi digital Brunei.
AITI kekal komited untuk membina tenaga kerja berkemahiran digital, bersedia masa hadapan selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025. Pendaftaran untuk TechXPLORE Kohort 2 akan dibuka pada Jun ini. AITI mengalu-alukan kerjasama dengan organisasi tempatan dengan kehadiran antarabangsa mahupun perkongsian untuk bekerjasama AITI sebagai rakan kongsi program untuk TechXPLORE. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi AITI di info@aiti.gov.bn atau layari laman web AITI di www.aiti.gov.bn.