Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis penyampaian hadiah peraduan menulis novel, sajak dirai

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Dengan novel bertajuk Binti Abdullah, Dayang Liyana binti Haji Julay telah memenangi penghormatan pertama dalam Peraduan Menulis Novel 2021-2022 sempena Bulan Bahasa 2023.
     
    Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Novel 2021-2022 sambutan Bulan Bahasa 2023 yang diselajurkan dengan Pantaran Sastera DBP: Peraduan Menulis Sajak Semarak Hari Kebangsaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-40 dan Pelancaran Buku-buku Terbaharu Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diadakan di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas, kelmarin.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah dan pelancaran buku-buku berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.
     
    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; Pemangku Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit; Pemangku Timbalan Pengarah DBP, pengarah-pengarah di bawah KKBS, pengetua dan guru besar, para ibu bapa, penulis dan penggiat sastera tanah air.
     
    Majlis menyaksikan Yang Berhormat Pehin menyempurnakan pelancaran lapan buah buku terbaharu terbitan DBP iaitu sebuah buku umum berjudul Semut dan Gula, empat buah buku sastera berjudul Antologi Cerpen Langkah Ristaan, Kumpulan Cerpen Hijrahku untuk Siapa, Kumpulan Cerpen “S.A.b.a.r” pe.ma.jal dan Kumpulan Sajak Kalbu Ingin Menulis, dua buah buku kanak-kanak berjudul Mengenal Warna dan Perjalanan Seekor Beruk yang Gemuk serta sebuah buku komik berjudul Jangan Jadi Pemugut
     
    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi semasa melancarkan buku terbitan DBP. – GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL
    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bergambar ramai bersama pemenang peraduan menulis novel. – GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL
    Majlis seterusnya menyaksikan Yang Berhormat Pehin menyampaikan hadiah bagi Peraduan Menulis Novel 2021-2022 di mana penghormatan kedua diberikan kepada Dayang Sosonjan binti Ayunkhan dengan novel bertajuk Jidar Al-Jannah dan penghormatan ketiga kepada Awang Muhammad Shah Rezza bin Abdul Aziz @ Rekan anak Lagat dengan novel bertajuk Bila Ombak Berombak.
     
    Sementara itu untuk Pantaran Sastera DBP: Peraduan Menulis Sajak Semarak Hari Kebangsaan iaitu bagi Kategori A, penghormatan pertama diterima oleh Dayangku Nur Fatihah binti Pengiran Haji Muhammad Lofti dengan sajak bertajuk Brunei Darussalamku Sayang; penghormatan kedua ialah Awang Muhammad Wildan Humaidi bin Hairol Fakhri dengan sajak bertajuk Pembela Negara; dan penghormatan ketiga ialah Awang Muhammad Luqman Izzu Addin bin Haji Abdul Majid dengan sajak bertajuk Semarak Hari Kebangsaan.
     
    Dua penerima sagu hati pula ialah Awang Muhammad Dhabit Aniq bin Rodiman dengan sajak bertajuk Aku Cinta Brunei Darussalamku dan Awang Muhammad Thomi Husayn bin Rodiman dengan sajak bertajuk Laila oh Laila Anak Pak Dollah.
     
    Bagi Kategori B, penghormatan pertama ialah Awang Muhd Hariz Al-Haq bin Nasrul Hakim dengan tajuk Patriotisme dan Semangat Bangsa; penghormatan kedua ialah Awang Muhammad Darwisy Raffique bin Abdullah dengan tajuk Indah Negaraku dan penghormatan ketiga ialah Awang Muhammad Nasrielfath bin Najhe dengan tajuk Semarak Kemerdekaan.
     
    Dua penerima sagu hati pula Awang Muhammad Haziq Wafiq bin Awang Mashartono dengan tajuk Majulah Stariaku dan Awang Muhammad Norafie bin Muhammad Roslan dengan tajuk Pemuda, Pejuang Negara.
     
    Penglibatan orang ramai khususnya para pencinta bahasa, sastera dan budaya dalam peraduan penulisan karya kreatif merupakan satu landasan terbaik kepada penulis-penulis tempatan dalam semua peringkat umur untuk berkarya. 
     
    Tujuannya untuk memupuk rasa cinta dan memberikan kesedaran terhadap amalan penggunaan bahasa Melayu, selain mengangkat martabat bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu melalui penulisan kreatif. 
     
    Karya-karya sastera Brunei dapat dijadikan sebagai bahan rujukan, kajian, perbincangan, serta menjadi sumber dalam memperteguh kewatanan (jati diri) dan permanfaatannya sebagai sumber bahan fikir serta bahan kajian sosiobudaya Melayu. Penulisan karya kreatif merupakan sebuah wacana yang dapat mengangkat sarana memasyarakatkan falsafah negara Melayu Islam Beraja selaras dengan tujuan peraduan diadakan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda