Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Dalam usaha untuk terus menggalakkan penglibatan aktif oleh ahli-ahli dalam Persatuan Kanak-kanak Cacar (KACA), persatuan tersebut telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah bagi Peraduan Senyum dan Masakan & Kraf tangan KACA BSB di Pusat KACA Bandar Seri Begawan, Kampung Kiulap hari ini.
Program yang dilangsungkan bersempena dengan ulang tahun ke-39 KACA tersebut dihadiri oleh presiden persatuan, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang peraduan yang diraikan.
Dalam majlis berkenaan, Pengarah Urusan Pusat KACA, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman menyatakan bahawa seramai 116 orang telah mengambil bahagian dalam peraduan Senyum KACA mengikut kategori yang dipertandingkan di KACA BSB dan sembilan pemenang menerima hadiah.
Sementara itu, bagi peraduan masakan dan kraftangan, seramai 48 orang telah mengambil bahagian mengikut kategori yang dipertandingkan di mana seramai 12 peserta menerima hadiah pada majlis berkenaan.
Majlis itu bermatlamat untuk memberi galakan kepada kanak-kanak KACA untuk mengambil bahagian dalam peraduan yang diadakan serta sebagai penghargaan kepada ibu bapa yang bekerjasama dan memberi bantuan aktif menerusi penyertaan dalam program dan aktiviti KACA.
Persatuan KACA turut menyatakan penghargaan kepada semua yang terlibat atas kerjasama yang diberikan kepada persatuan berkenaan serta mengharapkan harapan sokongan diteruskan bagi program atau aktiviti KACA sepanjang 2025 bagi perkembangan pelajaran serta pembelajaran kanak-kanak.