Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis penyerahan laluan pejalan kaki Kg Ayer

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Mitsubishi Corporation melalui Pejabat Perwakilan Brunei telah menamatkan edisi kedua Projek Pembangunan Sosial di Kampung Setia A Zon 2, Kampong Ayer dengan majlis penyerahan laluan pejalan kaki yang baru dibaik pulih di Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Kampung Setia.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Duta Besar Jepun ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru.

    Dalam ucapan alu-aluan, Wakil Negara Mitsubishi Corporation (Pejabat Perwakilan Brunei), Tadashi Hara, berkongsi pandangan bahawa Mitsubishi Corporation telah membaiki salah satu laluan pejalan kaki sepanjang 132 meter yang terletak di Kampung Setia A, Zon 2, Kampong Ayer dengan kerjasama Green Brunei di bawah sokongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pejabat Daerah.

    “Dengan membaiki dan meningkatkan keselamatan laluan tersebut, kami berharap penduduk akan memanfaatkan laluan yang diperbaharui ini sebaik mungkin, kerana keselamatan penduduk adalah aspek paling penting bagi kami dalam memberikan kembali kepada masyarakat.

    “Selain itu, di bawah sokongan Kementerian Pendidikan serta Jabatan Perhutanan, kami telah mengadakan lima lawatan pendidikan, yang melibatkan 86 pelajar ke Pusat Biodiversiti Tropika. Pelajar-pelajar berkenaan terpilih dari Sekolah Rendah Sungai Siamas, Sekolah Rendah Pehin Dato Jamil, Sekolah Rendah Bendahara Lama, Sekolah Rendah Saba Darat dan Sekolah Rendah Haji Tarif,” kata beliau.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Setia B. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin dan TYT Maeda Toru semasa melancarkan penyerahan laluan pejalan kaki berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin mengunjungi laluan pejalan kaki yang siap dibaiki. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    “Dengan objektif menyebarkan kesedaran alam sekitar kepada generasi muda, kami telah memberikan peluang kepada pelajar untuk belajar tentang biodiversiti di Brunei melalui lawatan pendidikan ini, justeru memperoleh ilmu pengetahuan dari program ini.

    “Selain itu, kami juga berpeluang memberikan sumbangan kepada mangsa kebakaran rumah yang melibatkan beberapa rumah di Kampung Setia B. Kami berharap beban keluarga yang terjejas dapat diringankan dalam masa yang sukar ini,” tambah Tadashi Hara.

    Menurut kenyataan, Projek Pembangunan Sosial telah memberi impak bermakna menerusi pembaikan pulih laluan pejalan kaki serta pondok rehat di Kampung Setia A Zone 2, Kampong Ayer.

    Kerja-kerja pembaikan pejalan kaki bermula pada 6 Ogos lalu dan berakhir pada 20 Ogos. Pemulihan tersebut dijangka akan meningkatkan keselamatan dan aksesibiliti penduduk kampung berkenaan.

    Sementara itu, Mitsubishi Corporation juga telah menyumbang barangan keperluan asas kepada sembilan keluarga yang terjejas oleh kebakaran rumah di Kampung Setia B, dalam usaha untuk membantu membina semula kehidupan seharian mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda