Oleh Nurdiyanah R. –
BELAIT, 21 APRIL – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah mengadakan Majlis Penyerahan Projek Titian Amal sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-63 di kediaman Lans Koperal (B) Japar bin Duraman di Kampung Gatas, Mukim Labi, Daerah Belait.
Majlis tersebut disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Pemangku Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), timbalan-timbalan pemerintah angkatan tentera dan pengarah-pengarah tentera dan awam di Kementerian Pertahanan, pegawai-pegawai kanan ABDB, Pemangku Ketua Kampung Labi 1 serta ahli-ahli Persatuan Veteran ABDB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan tazkirah yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB, Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar, sebelum diteruskan dengan penyampaian perkembangan projek terkini daripada Kapten Haji Norbahrin bin Haji Muamad, Tentera Laut Diraja Brunei, selaku pengerusi aktiviti kemasyarakatan sempena Hari Ulang Tahun ABDB yang ke-63.
Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi kemudiannya menyampaikan plak cenderahati dan sumbangan daripada Tabung Kebajikan ABDB kepada Lans Koperal (B) Japar sebagai simbolik kepada kejayaan pelaksanaan projek itu. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai.
Projek Titian Amal merupakan salah satu inisiatif tahunan bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB yang bertujuan untuk memperkukuh jalinan kerjasama antara ABDB dan masyarakat.
Ia juga berperanan dalam usaha kepada pembangunan kapasiti nasional, memupuk rasa ihsan dan semangat kesukarelawanan, dalam masa yang sama, memupuk hubungan silaturahim antara warga ABDB, agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat melalui kerja-kerja amal dan kebajikan.