Monday, March 31, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis penyerahan zakat simpanan, penyampaian sumbangan kepada DANA

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Sempena memperingati bulan suci Ramadan, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya iaitu Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITHSB), Darussalam Holdings Sdn Bhd dan TAIB Filling Station Sdn Bhd telah mengadakan Majlis Penyerahan Kutipan Zakat Simpanan Perbadanan TAIB, Khatam Al-Quran dan Penyampaian Sumbangan kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA) yang berlangsung di Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan, hari ini.

    Hadir di majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, juga Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) selaku Penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB serta Menteri di JPM dan Menteri Kewangan Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang juga selaku Penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama dan Timbalan Pengerusi Perbadanan TAIB, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Muhammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Penolong Mufti Negara (‘Ifta) dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB, Dato Seri Setia Dr Haji Dennie bin Haji Abdullah; ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya; ahli-ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB dan IITHSB, Penghulu Mukim Pengkalan Batu, Ketua Kampung Junjongan dan Kampung Putat, tetamu jemputan, pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya serta penduduk kampung sekitarnya.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Imam Masjid As-Salaam, Haji Hayrul bin Haji Hakim. Majlis diteruskan dengan penyerahan zakat Perbadanan TAIB berjumlah $4,300,065.10 kepada MUIB di mana jumlah kutipan zakat berkenaan diperoleh melalui pemotongan automatik yang dibenarkan daripada pemegang akaun simpanan serta kutipan zakat melalui kemudahan ATM dan MFM sepanjang 2024.

    Zakat berkenaan diserahkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi kepada Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin.

    Yang Berhormat Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi menyampaikan sumbangan zakat kepada Yang Berhormat Pehin Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Badaruddin pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Majlis diteruskan dengan bacaan khatam Al-Quran, Takhtim dan Doa Khatam Al-Quran dipimpin oleh Ketua Imam masjid.

    Selain itu, sumbangan turut disampaikan kepada 12 orang anak yatim daripada kalangan ahli keluarga kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya dan 16 anak yatim dari kawasan Kampung Junjongan yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi.

    Seterusnya, majlis menyaksikan penyampaian sumbangan derma kepada DANA di mana $150,000 telah disumbangkan oleh Perbadanan TAIB dan $10,000 masing-masing daripada Insurans Islam TAIB Family Takaful Sdn Bhd, Insurans Islam TAIB General Takaful Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Muhammad Tashim telah menyerahkan sumbangan-sumbangan berkenaan dan diterima oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DANA.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan seterusnya sembahyang Fardu Asar secara berjemaah yang dipimpin oleh Ketua Imam Masjid As-Salaam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda