Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis perbarisan sempena Hari Bomba dan Penyelamat ke-65

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan pengorbanan anggota bomba, Majlis Perbarisan Kawalan Kehormatan Sempena Sambutan Hari Bomba dan Penyelamat ke-65 telah diadakan di Padang Kawad Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Landasan Lama Berakas, hari ini.

    Sambutan itu juga turut memperingati Hari Bomba Sedunia yang disambut pada setiap 4 Mei sebagai simbol pengiktirafan global terhadap komitmen dan pengorbanan anggora bomba dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab mereka yang mulia.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Ketibaan Yang Berhormat Dato dimulakan dengan Hormat Panglima daripada perbarisan kawalan kehormatan seramai 63 orang keanggotaan yang diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamatan, Pengiran Haji Ali Abdul Rahman bin Pengiran Haji Halus.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri temasuk pegawai kanan dan anggota JBP.

    Tetamu kehormat ketika menyaksikan pameran yang diadakan sempena sambutan berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Persembahan semasa Sambutan Hari Bomba dan Penyelamat ke-65, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Majlis diteruskan dengan pemeriksaan perbarisan kawalan kehormatan keanggotaan JBP diikuti dengan ucapan daripada Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin.

    Selepas acara perbarisan, beberapa persembahan padang daripada pasukan bomba dan penyelamat telah dipertunjukkan yang mana persembahan yang menonjol adalah daripada pasukan SATREA yang mempersembahkan kepakaran anggotanya dalam menangani situasi kecemasan melalui satu senario kejadian bangunan dua tingkat runtuh ditapak pembinaan akibat gegaran yang kuat.

    Pasukan SATREA seramai 12 orang anggota diketuai oleh Pegawai Balai Abdul Azim bin Haji Tuah dikerahkan untuk menyelamatkan mangsa menggunakan patient packaging dan diturunkan menggunakan kaedah high angle rope rescue.

    Selain itu, persembahan khas daripada Unit Jurulatih Jasmani, JBP juga mendapat perhatian apabila pasukan berkenaan mempertontonkan kecekapan body combat yang mana pasukan itu telah dilatih serta mendapat pengiktirafan jurulatih dari Akademi Pertahanan Awam Singapura dan Pusat Optima Kecergasan Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

    Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Penubuhan JBP ke-65, turut dianjurkan pameran-pameran dari Bahagian Komunikasi Korporat, Bahagian Tenaga Manusia, Perancangan dan Latihan. Bahagian Komunikasi Korporat dulunya dikenali sebagai Bahagian Perhubungan Awam kini dinaiktaraf nama sebagai Bahagian Komunikasi Korporat sesuai dengan peredaran masa dan membantu jabatan membina imej yang positif dan membina hubungan dengan pihak berkepentingan.

    Bahagian itu bertanggungjawab untuk menyampaikan program-program jangkauan masyarakat seperti Lifesaver 995, Kursus Marsyal Bomba, Latihan Kebakaran, Taklimat Keselamatan Kebakaran dan lawatan ke balai-balai.

    Agensi yang berkepentingan seperti Bahagian Perkhidmatan Bomba Lapangan Terbang, Bomba Minyak Brunei Shell Sdn Bhd dan Bomba Hengyi Industries Sdn Bhd turut diundang bagi mempamerkan peralatan dan perkakas kebombaan.

    Syarikat swasta iaitu Network Integrity Assurance Technologies Sdn Bhd, PAR Corporation Sdn Bhd dan Takaful Brunei turut mempamerkan peralatan dan perkhidmatan kepada para jemputan dan pengunjung.

    Orang ramai juga hadir bagi sama-sama menyaksikan pameran dan mengikuti permainan mini yang dianjurkan selama sehari itu.

    Majlis turut diserikan dengan tayangan Trailer Rancangan Wira Bomba 995 yang merupakan rancangan yang julung kalinya pernah difilemkan.

    Rancangan itu merupakan kolaborasi antara JBP dan Radio Televisyen Brunei dan akan disiarkan pada Julai nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda