Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Sempena sambutan memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei menjadi Bandar Seri Begawan kali ke-55 tahun, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran, Ratib Al-Attas, Selawat Tafrijiyyah dan Doa Kesyukuran di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Mohd Hasnal bin Haji Mohamad, diikuti bacaan khatam beramai-ramai yang dipimpin oleh siswa Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Awang Hadif Nazhan bin Idris.
Bacaan Takhtim dan Ratib Al-Attas turut dipimpin oleh Awang Mohd Hasnal manakala Doa Khatam dibacakan oleh siswa ITQSHHB, Awang Muhamad Faiz Najwan bin Muhamad Salleh.
Seterusnya, Selawat Tafrijiyyah dibacakan oleh Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang, sebagai tanda kesyukuran dan memohon keberkatan sempena sambutan bersejarah tersebut.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban oleh pegawai dan kakitangan JBBSB, sebelum diakhiri dengan Doa Kesyukuran yang dibacakan oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat, serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara mewakili daerah-daerah, Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) KHEDN, timbalan-timbalan setiausaha tetap, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, ketua-ketua jabatan, pegawai serta kakitangan KHEDN, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, ahli majlis perundingan kampung (MPK), wakil institusi pengajian tinggi, jawatankuasa takmir masjid, serta badan-badan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama menyemarakkan suasana keagamaan serta memperkukuh ukhuwah sesama warga bandar.
Penganjuran majlis itu bertujuan menyemarakkan lagi rasa kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat keamanan, kemajuan dan keberkatan Bandar Seri Begawan.
Bandar Brunei secara rasminya telah dinamakan Bandar Seri Begawan pada 4 Oktober 1970, sebagai tanda penghormatan kepada Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, yang dikenali sebagai Seri Begawan setelah Baginda turun takhta.




