Friday, December 20, 2024
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis perjumpaan perkukuh hubungan

    LONDON, 19 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat mengadakan Majlis Perjumpaan dengan His Majesty King Charles III, the King of the United Kingdom (UK) of Great Britain and Northern Ireland, pada majlis yang diadakan di Buckingham Palace.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Majlis tersebut memperkukuhkan dan mengeratkan lagi hubungan yang sekian lama dan rapat serta ikatan persahabatan yang erat antara kerabat diraja dan rakyat kedua-dua buah negara.

    Sementara itu dalam acara berasingan, Baginda Sultan turut berkenan menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Perdana Menteri UK of Great Britain and Northern Ireland, Tuan Yang Terutama Sir Keir Starmer, di 10 Downing Street, London.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin berkenan menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Perdana Menteri United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland, TYT Sir Keir Starmer di 10 Downing Street, London. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan semasa berkenan menghadiri Majlis Perjumpaan TYT Sir Keir Starmer di 10 Downing Street, London. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengadakan Majlis Perjumpaan dengan His Majesty King Charles III di Buckingham Palace. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Semasa majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang Terutama atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri UK yang baharu.

    Seterusnya, Baginda menyentuh mengenai kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan UK, yang mana tahun ini adalah istimewa kerana ia menandakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.

    Mengenai pertahanan, Baginda menzahirkan rasa gembira bahawa kedua-dua negara telah bersetuju untuk melanjutkan kehadiran British Garrison di Brunei, dan mengalu-alukan pembaharuan Exchange of Letters. Di samping itu, Baginda juga berpuas hati dengan kemajuan Dialog Strategik antara Brunei dan UK.

    Menyentuh mengenai ASEAN, Baginda menghargai komitmen berterusan UK sebagai Rakan Dialog ASEAN yang melaksanakan aktiviti-aktiviti serantau yang penting dan relevan. Di samping itu, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk perkembangan di Timur Tengah.

    Pada Majlis Perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berkenan menandatangani perjanjian The Exchange of Letters dalam bidang pertahanan bersama Tuan Yang Terutama Perdana Menteri UK of Great Britain and Northern Ireland yang mewakili kerajaan British.

    The Exchange of Letters tersebut akan memperkukuhkan lagi hubungan pertahanan antara kedua-dua buah negara serta memupuk kerjasama antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dengan Angkatan Bersenjata British dalam bidang kepentingan bersama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda