Sunday, July 13, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis perkahwinan dibom

    KABUL, 18 OGOS – Sekurang-kurangnya 63 orang maut manakala 182 lagi cedera dalam satu letupan yang menjadikan sebuah majlis perkahwinan sebagai sasaran di ibu negara Afghanistan itu, kata pihak berkuasa hari ini.

    Letupan terbabit yang berlaku lewat malam tadi di barat Kabul, terjadi ketika Washington dan Taliban memasuki peringkat akhir rundingan pengurangan jumlah tentera Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan.

    Taliban menafikan sebarang pembabitan dalam insiden itu. Jurucakap kementerian dalam negeri, Nasrat Rahimi mengesahkan jumlah kematian berkenaan dan berkata, ia adalah yang tertinggi di Kabul dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

    “Antara mangsa yang cedera ialah wanita dan kanak-kanak,” kata Nasrat.

    Majlis perkahwinan di Afghanistan adalah waktu epik dan berwarna warni yang lazimnya disambut ratusan atau ribuan tetamu di dalam dewan dengan kaum lelaki diasingkan daripada jemputan wanita serta kanak-kanak.

    Mohammad Farhaq yang berada di majlis itu memberitahu, beliau berada di bahagian wanita apabila mendengar letupan kuat di kawasan lelaki.

    “Semua orang berlari keluar sambil menjerit dan menangis. Selama kira-kira 20 minit, dewan itu dipenuhi kepulan asap. Hampir semua tetamu di bahagian lelaki sudah tidak bernyawa atau cedera parah,” katanya.

    Menurut beliau, dua jam selepas letupan, pihak berkuasa masih mengeluarkan mayat dari lokasi kejadian.

    Majlis perkahwinan di Afghanistan sering menjadi sasaran pemberontak kerana ia dianggap laluan mudah berikutan kekurangan kawalan keselamatan. – AFP

    Keadaan dewan selepas majlis perkahwinan di Kabul dibom menyebabkan 63 orang maut. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda