Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Selepas lapan hari berada di negara ini, 10 orang belia Republik Korea menamatkan Program Pertukaran Belia Dua Hala di Negara Brunei Darussalam, hari ini, dengan majlis perpisahan yang berlangsung di Bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Pada majlis anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) di KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut hadir bagi menyampaikan sijil kepada para peserta.
Semasa majlis itu, belia Republik Korea membentangkan laporan mereka mengenai pengalaman semasa berada di negara ini sejak 20 Ogos lalu.
Program Pertukaran Belia Dua Hala Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea merupakan salah satu daripada program di bawah perjanjian kerjasama Arrangement on Cooperation on Youth Matters yang telah dimeterai dan telah dipersetujui pada 10 Februari 2010.
Program mula dilaksanakan pada 2011 dan tahun ini merupakan kali kesembilan ia dilaksanakan dengan rombongan Negara Brunei Darussalam akan membuat pertukaran lawatan ke Republik Korea pada Oktober depan.
Program tersebut dianjurkan secara kerjasama oleh Ministry of Gender, Equality and Family, Republik Korea dan KKBS, Negara Brunei Darussalam yang antara lain bertujuan untuk menjalin persahabatan dan persefahaman muhibah dalam kalangan belia kedua-dua negara dalam suasana harmoni dan setia kawan melalui interaksi yang sihat selain dapat berkongsi dan bertukar pandangan dan pengalaman berguna dari sudut sosioekonomi, sosiopolitik, adat resam dan kebudayaan termasuk bahasa.
