Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI- Satu majlis makan tengah hari perpisahan telah diadakan hari ini bagi menghargai khidmat Duta Besar Republik Persekutuan Jerman ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Gerda Winkler yang bakal menamatkan tempoh lima tahun perkhidmatan beliau di negara ini.
Majlis berkenaan dianjurkan oleh kumpulan bekas Duta-duta Brunei ke Jerman, dan berlangsung dalam suasana mesra di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.
Turut hadir ialah Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha bin Pengiran Metassan, selaku pengerusi kumpulan berkenaan, para kenamaan serta rakan-rakan diplomatik.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, disusuli dengan ucapan balas daripada Puan Yang Terutama Gerda Winkler yang menyampaikan penghargaan tidak terhingga kepada kumpulan tersebut atas sambutan dan sokongan yang telah diberikan sepanjang beliau bertugas di Brunei.
Puan Yang Terutama Gerda turut menekankan kepentingan hubungan dua hala antara Brunei dan Jerman yang semakin kukuh melalui lawatan rasmi kedua-dua pihak, hubungan perdagangan, serta pertukaran dalam bidang pendidikan dan pelancongan. Beliau juga memuji kerjasama erat dengan kerajaan dan menggambarkan rakyat Brunei sebagai amat ramah dan mudah didekati.
Majlis turut menyaksikan penyerahan buku, diikuti sesi bergambar ramai serta jamuan makan tengah hari bersama para tetamu.