Oleh Lyna Mohamad –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Bekas pelajar dan guru Sekolah Rendah Sultan Umar Ali Saifuddin (SUAS) Muara telah mengadakan majlis pertemuan semula dan sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini di Kampung Salambigar. Acara tersebut bertujuan untuk mengeratkan kembali hubungan silaturahim antara bekas pelajar tahun 1970an yang tidak bertemu hampir 50 tahun.
Turut hadir selaku tetamu kehormat ialah penasihat kumpulan, Haji Ali Yusri bin Haji Ghafor serta pengerusi kumpulan, Haji Muhammad Yasin bin Haji Tinggal.
Kumpulan tersebut terdiri daripada bekas pelajar dan guru kelas Darjah 4 dan Darjah 5, dan kini mempunyai kira-kira 75 orang ahli aktif.
Usaha mengumpulkan semula bekas pelajar telah dibuat oleh salah seorang bekas pelajar, Dayang Mahani binti Haji Sulaiman, yang memulakan kumpulan WhatsApp khas sejak 23 Mac 2015 untuk menjejaki dan meng-hubungkan semula rakan-rakan serta guru lama mereka.
Antara acara lain yang telah dan akan dianjurkan oleh kumpulan ini termasuk Majlis Tahlil dan Doa Arwah, Doa Kesyukuran bagi jemaah haji yang pulang, perjumpaan bersama ahli dan guru lama, festival pantai, program penanaman pokok buah-buahan serta sumbangan bahan bacaan kepada Perpustakaan Sekolah Rendah SUAS.
