Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 3 NOV – Seramai 46 orang bekas pelajar bertemu semula di sebuah restoran di Kuala Belait, dengan suasana ceria dan penuh kegembiraan ketika mereka mengimbau kenangan zaman persekolahan dalam Majlis Pertemuan Semula Silaturahim yang berlangsung pada 1 November lalu.
Pertemuan tersebut menghimpunkan bekas pelajar dari tahun 1970an hingga 1980an, melibatkan tiga buah sekolah menengah Melayu iaitu Sekolah Menengah Melayu Ahmad Tajuddin, Kuala Belait; Sekolah Menengah Melayu Muhammad Alam, Seria; dan Sekolah Menengah Melayu Muda Hashim, Tutong.
Turut memeriahkan suasana, beberapa alumni sanggup datang dari Miri, Sarawak bagi menghadiri acara berkenaan, yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh salah seorang alumni, Haji Mohamad bin Haji Abdul Rahman.
Ini diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Melayu Muda Hashim, Tutong, Awang Mohd Ali bin Haji Sapar, yang turut merupakan alumni Sekolah Menengah Melayu Ahmad Tajuddin, Kuala Belait serta Sekolah Menengah Melayu Muda Hashim, Tutong.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa perhimpunan istimewa ini merupakan julung kali alumni dari ketiga-tiga sekolah disatukan dalam satu majlis pertemuan semula, bertujuan mengukuhkan lagi ikatan persahabatan yang telah terjalin sekian lama.
Beliau menambah, sebelum ini turut dianjurkan secara berasingan dengan pertemuan semula kali pertama bagi alumni Sekolah Menengah Melayu Ahmad Tajuddin, Kuala Belait, yang diadakan pada 23 April 2017 di lokasi yang sama, manakala pertemuan semula kali pertama alumni Sekolah Menengah Melayu Muda Hashim, Tutong diadakan pada 4 Mac 2015 di Bandar Seri Begawan dengan kehadiran lebih 50 alumni.
“Kebanyakan daripada kami kini sudah menjadi warga emas. Insya Allah, kami berharap dapat terus bertemu dalam perjumpaan akan datang selagi mampu,” ujarnya.
Selain penganjuran pertemuan semula, kumpulan alumni turut melaksanakan pelbagai kegiatan termasuk majlis bacaan tahlil, sambutan Hari Raya, lawatan ke luar negara, serta pertemuan kecil dari semasa ke semasa. Aktiviti-aktiviti tersebut dijalankan dengan tujuan bagi mengekalkan dan mengukuhkan ukhuwah serta jalinan persahabatan yang terjalin sejak zaman persekolahan.


