Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Seramai 95 orang pelatih yang berjaya menamatkan latihan Program Pembangunan Belia sesi Tahun 2024 telah diraikan dalam Majlis Pra-Graduasi Program Pembangunan Belia tahun 2024 pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat adalah Setiausaha Tetap (Kebeliaan) Kementerian Kebudayaaan, Belia dan Sukan, Haji Zakaria bin Haji Serudin yang seterusnya menyampaikan hadiah kepada 54 pelatih lelaki dan 41 pelatih perempuan.


Majlis berkenaan merupakan acara tahunan untuk meraikan para pelatih telah tamat mengikuti Program Latihan Kemahiran dan Program Pembangunan Diri selama 9 bulan di Pusat Pembangunan Belia yang diisi dengan upacara perbarisan tamat latihan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian hadiah pelatih terbaik bagi beberapa kategori iaitu pelatih terbaik dalam Kemahiran Latihan, pelatih terbaik dalam 5 bidang utama iaitu: disiplin, kesukanan, keugamaan, asrama dan pembangunan Diri. Seorang pelatih lelaki dan seorang pelatih perempuan juga turut dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan bagi sesi 2023.
Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian penghargaan kepada empat orang jurulatih kawad dan latihan jasmani daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang telah membantu pihak pusat berkenaan dalam mengajar dan membimbing latihan kawad dan latihan jasmani.
Setelah itu, beberapa aktiviti dan pergerakan statik dipersembahkan oleh para pelatih seperti Perbarisan Berjalan Lalu, Pertunjukan Kawad Kaki, Persembahan Jasmani dan Body Combat.

Perbarisan dan persembahan tersebut menunjukkan tahap disiplin yang tinggi sentiasa diterapkan kepada para pelatih sepanjangan mengikuti kursus berkenaan di samping mengikuti pelbagai aktiviti yang bermanfaat untuk bekal kehidupan mereka di masa hadapan.
Majlis berkenaan juga menandakan peralihan program yang akan diikuti seterusnya oleh para pelatih iaitu program penempatan kerja selama tiga bulan di agensi-agensi kerajaan dan swasta.