Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Seramai 173 pelajar Tahun 6 Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) diraikan pada Majlis Konvokesyen, Penyampaian Hadiah dan Sijil Pelajar Terbaik Tahun 6, 2024.
Berangkat ke majlis itu, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Nasibah.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di dewan serba guna sekolah berkenaan ialah Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan.
Pada majlis itu, Pengetua Sekolah, Hajah Mariam binti Haji Ladi, dalam ucapannya antara lain mengongsikan pencapaian akademik pelajar pada tahun ini secara keseluruhannya adalah pada tahap cemerlang.
Katanya lagi, “Walaupun fokus utama Tahun 6 ialah kecemerlangan akademik, sekolah Yayasan sentiasa menitikberatkan pembangunan karakter pelajar”.
Majlis berkenaan turut meraikan 12 tenaga pengajar Tahun 6 yang sentiasa berusaha dengan gigih dan memberikan motivasi kepada pelajar sepanjang pembelajaran mereka.
Antara yang menerima hadiah di majlis itu ialah cucunda YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Nasibah, Pengiran Muhammad Abdul Haadee Mubasheer.