Oleh Salawati Haji Yahya –
TUTONG, 24 MAC – Dalam usaha merebut ganjaran pahala pada 10 malam terakhir bulan Ramadan, pelbagai pihak di negara ini mengadakan majlis khatam Al-Quran dan acara keagamaan lainnya.
Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Telisai telah mengendalikan Majlis Khatam Al-Quran bagi Kelas Bimbingan Muslimah Seluruh Negara Sempena Tadarus Al-Quran di Bulan Ramadan Tahun 2025, bertempat di masjid berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah isteri Penghulu Mukim Telisai, Daerah Tutong, Hajah Sahedah binti Haji Ya’akub.
Antara tujuan acara itu diadakan adalah bagi meningkatkan amal ibadah dalam bulan Ramadan terutama melalui bacaan Al-Quran, selain ia juga di hasrat dapat mendorong para Muslimah untuk mengamalkan bacaan Al-Quran sehingga khatam, di samping untuk mengeratkan lagi silaturahim di kalangan Muslimah masjid.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat, dan acara diteruskan dengan bacaan khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Tenaga Pembimbing Masjid Kampung Telisai, Hajah Aidah binti Haji Mohd Yusof.
Bacaan Doa Khatam yang dibaca oleh Muslimah Masjid Kampung Telisai, Hajah Norpismawati binti Haji Abu Bakar.
Manakala bacaan Takhtim diketuai oleh Muslimah Masjid Kampung Telisai, Hajah Noratikah binti Haji Ali Hasan, sementara bacaan Doa Peliharakan Sultan dipimpin oleh Ketua Muslimah Masjid Kampung Telisai, Hajah Julia binti Haji Abdullah. Dengan terlaksananya program tersebut dihasratkan akan dapat melazimkan diri dengan amal-amal ibadah melalui bacaan Al-Quran dan tahlil lebih-lebih lagi ia di adakan dalam bulan Ramadan.