Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Bagi meraikan pencapaian kakitangan yang telah menyertai inisiatif Platform Pembelajaran Dalam Talian (OLP), sebuah program pembangunan profesional yang diperkenalkan pada awal 2024, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) telah mengadakan majlis penyampaian sijil yang berlangsung di Dewan Seri Kerna, AITI, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Ketua Eksekutif AITI, Haji Jailani bin Haji Buntar.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Urusan Mindtrex Academy Sdn Bhd, Pengiran Khairi bin Pengiran Metussin dan Pengarah ASCENSUS Institute, Dayang Khiryati Kairi di mana mereka menekankan mengenai kuasa transformatif pembelajaran digital dan dedikasi serta perkembangan keseluruhan para peserta AITI.
Majlis kemudian menyaksikan penyampaikan sijil kepada 27 orang kakitangan yang berjaya menamatkan pembelajaran profesional masing-masing dalam bidang-bidang profesional utama seperti sumber manusia, kewangan, pemasaran dan jualan, analisis data serta operasi IT.
Dalam mengiktiraf prestasi cemerlang, lima orang pelajar terbaik juga diberikan penghormat bagi komitmen, konsistensi serta pencapaian cemerlang mereka.
Pelajar terbaik keseluruhan, Haji Ardifeyendi bin Haji Awang ketika mengongsi mengenai perjalanan OLP, menekankan nilai pembelajaran kendiri, disiplin mengimbangkan kerja dan belajar serta galakan yang diperoleh daripada rakan-rakan sejawat dan penyelia.
Beliau menggalakkan rakan-rakan sejawatnya untuk terus mencabar diri dan menyertai peluang pembelajaran masa akan datang, menggariskan bagaimana inisiatif OLP telah melengkapkan kakitangan dengan kemahiran yang memberikan manfaat secara langsung kepada kerja mereka serta misi meluas AITI.
Inisiatif OLP yang dilancarkan secara rintis pada awal 2024, menyediakan akses kepada kursus-kursus antarabangsa yang diiktiraf industri menerusi paltform-platform utama. Pada masa ini, inisiatif berkenaan memanfaatkan Skillsoft iaitu pembekal penyelesaian pembelajaran dalam talian yang terkenal dengan pengalaman pembelajaran berpandu AI dan interaktifnya.
Menerusi inisiatif OLP, AITI berhasrat mempromosikan budaya pembelajaran berterusan dan melabur dalam platform pembelajaran yang moden dan boleh diakses bagi memperkasakan kakitangan mereka untuk terus maju dalam persekitaran digital yang dinamik.