Monday, July 1, 2024
23 C
Brunei

    -

    Majlis rai 4 pegawai ABDB

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Empat pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang telah selamat kembali ke tanah air selepas menyertai tugasan sebagai ahli Pasukan Badan Penyahtauliahan Bebas, Pengesahan, Pemantauan dan Bantuan (IDB VMAT) 5/2023 di Mindanao, Republik Filipina, pagi tadi diraikan dalam Majlis Doa Kesyukuran di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison.

    Hadir pada majlis berkenaan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada ahli-ahli kontinjen ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Majlis turut diselitkan dengan penyampaian tazkirah bertajuk Pengorbanan dan Jasa Dalam Menjaga Keamanan yang disampaikan oleh Pegawai Turus Gerakan Agama Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Mejar Narulismandy @Anwar Hadi bin Haji Samaih.

    Kontinjen yang diketuai oleh Komander Mohd Zouhdy bin Haji Abdul Razak, daripada Tentera Laut Diraja Brunei telah selamat tiba di negara ini pada 20 Jun lalu.

    Sejak penubuhan IDB VMAT pada tahun 2019, negara ini telah menghantar 18 pegawai ABDB untuk menyertai proses perdamaian di Mindanao.

    Penyertaan tersebut mencerminkan komitmen negara terhadap keamanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa, seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.

    Baru-baru ini, tiga pegawai ABDB telah dihantar untuk meneruskan misi penugasan sebagai sebahagian daripada IDB VMAT 6/2024. Sebelum penugasan IDB VMAT negara ini juga terlibat dalam Pasukan Pemantau Antarabangsa, Mindanao, dari tahun 2004 hingga 2022.

    Turut hadir, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan ABDB, Pemangku Pengarah Asia/Timur Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, atase pertahanan dan Angkatan Tentera Republik Filipina, pegawai-pegawai serta anggota-anggota Kementerian Pertahanan.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pegawai yang diraikan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi hadir bersama jemputan lain pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Xi akan lawat Kazakhstan, Tajikistan 2 Julai

    BEIJING, 30 JUN - Presiden China, Xi Jinping akan menghadiri mesyuarat pemimpin dan mengadakan lawatan negara ke Kazakhstan dan Tajikistan mulai Selasa ini, kementerian...