Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Sebanyak 42 buah sekolah agama diraikan dalam Majlis Muzakarah Akademik bersama Pemimpin Sekolah-sekolah Ugama dan Penyampaian Sijil Penghargaan bagi pencapaian cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) 2024 yang berlangsung petang tadi di Dewan Ar-Raudhah, Sekolah Ugama Lambak, Jalan Bedil.
Majlis berkenaan bertujuan sebagai pemangkin semangat kepada para guru dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah di samping mencerminkan keprihatinan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Pengajian Islam (JPI) terhadap pencapaian sekolah-sekolah agama di negara ini.
Inisiatif tersebut juga diharap dapat memperkasa kualiti akademik, sahsiah dan kokurikulum demi melahirkan pelajar yang unggul dalam pelbagai aspek kehidupan.
Majlis dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh Ketua Unit Akademik dan Peperiksaan, JPI, Dayang Sunarty binti Ahmad yang menyentuh mengenai pencapaian akademik serta hala tuju pendidikan agama.
Acara diteruskan dengan penyampai-an sijil penghargaan kepada sekolah-sekolah agama yang mencapai keputusan 100 peratus kelulusan dalam Peperiksaan SSSRU 2024.
Daripada jumlah tersebut, 17 buah sekolah berjaya memperoleh 100 peratus kelulusan dengan Pangkat 1, manakala 25 buah sekolah lagi mencatatkan 100 peratus kelulusan keseluruhan.
Pemangku Pengarah Pengajian Islam, JPI, KHEU, Hajah Mariana binti Haji Jamil telah menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada wakil-wakil sekolah yang berjaya.
Majlis diakhiri dengan harapan agar usaha berterusan seperti ini akan terus menyemarakkan semangat kecemerlangan dalam kalangan warga sekolah, sekali gus memperkukuh kualiti pendidikan agama di negara ini.




