Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Seramai 897 orang graduan iaitu 416 orang graduan lelaki dan 481 orang graduan perempuan, diraikan dan menerima sijil mereka dalam Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei Ke-11, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Para graduan menerima sijil-sijil Diploma Tahap 5 mereka pada majlis berkenaan di mana mereka telah pun berjaya menamatkan program pengajian masing-masing selama 2.5 tahun yang telah ditawarkan oleh sekolah-sekolah di bawah Politeknik Brunei iaitu Sekolah Perdagangan, Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Sekolah Sains Kesihatan serta kohort graduan yang pertama dari Sekolah Petrokimia.
Diploma Tahap 5 berkenaan adalah diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan melalui Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK). Majlis Konvokesyen pada tahun ini telah dibahagikan kepada sesi pagi dan sesi petang.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para penerima di sesi pagi ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Yang Berhormat Datin Seri Setia Doktor Hajah Romaizah binti Haji Mohammad Salleh.



Pada majlis berkenaan, Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Pengiran Dr. Saiful Baharin Bin Pengiran Haji Duraman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa Kerja Majlis Konvokesyen PB Ke-11 dalam ucapan alu-aluannya menyatakan kejayaan para graduan bukan sahaja menjadi bukti kebolehan dan usaha gigih mereka tetapi ia juga mencerminkan keberkesanan sistem pengajaran dan pembelajaran Politeknik Brunei.
Beliau menyatakan lagi, “Semoga para graduan ini akan membawa ilmu dan kemahiran yang diperoleh ke tahap yang lebih tinggi serta memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan dan kesejahteraan negara sejajar dengan matlamat satu Wawasan Brunei 2035 iaitu Rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.”
Beliau seterusnya mendedahkan bahawa dari sudut pencapaian Penunjuk Prestasi Utama iaitu Kadar Graduan Mendapat Pekerjaan bagi Kelas 2024, 6 bulan selepas tamat pengajian ialah 67.3 peratus.

“Sementara itu, Kajian Kepuasan Majikan bagi Kelas 2023 (Intake 10) mencatatkan 94.8 peratus maklum balas positif terhadap mutu kerja graduan Politeknik Brunei,” beliau menekankan bahawa kadar-kadar berkenaan telah menunjukkan peningkatan daripada kadar-kadar sebelumnya.
Di samping itu, Pengiran Dr Saiful Baharin menyatakan bermula Julai 2026, Politeknik Brunei akan memperkenalkan 3 buah program baharu iaitu Level 5 Diploma in Plant Engineering, Level 5 Diploma in Digital Solutions serta Level 5 Diploma in Business and Tourism Management.
Pengenalan program-program berkenaan, tambahnya, bertujuan untuk memenuhi keperluan industri yang sentiasa berubah serta membekalkan pelajar dengan kemahiran khusus yang relevan kepada sektor utama di negara ini dan serantau.
“Dengan menawarkan diploma baharu ini, Politeknik Brunei akan menyediakan laluan pembelajaran yang lebih pelbagai yang selaras dengan tren pasaran semasa dan kemajuan teknologi.”


“Inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan kebolehpasaran dan kesiapsiagaan kerjaya graduan dengan mendedahkan mereka kepada ilmu praktikal dan kepakaran yang berkaitan dengan industri.”
Acara kemuncak Majlis Konvokesyen PB Ke-11 pada sesi pagi ialah penyampaian sijil-sijil Diploma Tahap 5 oleh Yang Berhormat Menteri Hal Pendidikan selaku tetamu kehormat Majlis.
Para graduan yang menerima sijil mereka adalah yang mengikut program-program iaitu Diploma Tahap 5 dalam Perakaunan Perniagaan dan Kewangan (Level 5 Diploma in Business Accounting and Finance), Diploma Tahap 5 dalam Pengajian Perniagaan (Level 5 Diploma in Business Studies), Diploma Tahap 5 dalam Pengajian Perniagaan (Keusahawanan) [Level 5 Diploma in Business Studies (Entrepreneurship)], Diploma Tahap 5 dalam Pengajian Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia) [Level 5 Diploma in Business Studies (Human Resources Management)], Diploma Tahap 5 dalam Pengajian Perniagaan (Pemasaran) [Level 5 Diploma in Business Studies (Marketing)], Diploma Tahap 5 dalam Seni Bina (Level 5 Diploma in Architecture, Diploma Tahap 5 dalam Reka Bentuk Dalam (Level 5 Diploma in Interior Design).
Turut menerima graduan Diploma Tahap 5 dalam Kejuruteraan Awam (Level 5 Diploma in Civil Engineering), Diploma Tahap 5 dalam Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (Level 5 Diploma in Electrical and Electronics Engineering), Diploma Tahap 5 dalam Kejuruteraan Mekanikal (Level 5 Diploma in Mechanical Engineering), Diploma Tahap 5 dalam Kejuruteraan Petroleum (Level 5 Diploma in Petroleum Engineering) serta Diploma Tahap 5 dalam Kejuruteraan Telekomunikasi dan Sistem (Level 5 Diploma in Telecommunication and Systems Engineering).
Sementara itu, pada sesi petang, hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan yang diraikan,Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.



Para graduan yang menerima sijil-sijil mereka berjaya menamatkan program-program iaitu Diploma Tahap 5 dalam Media Digital (Level 5 Diploma in Digital Media), Diploma Tahap 5 dalam Sistem Maklumat (Level 5 Diploma in Information System), Diploma Tahap 5 dalam Rangkaian Teknologi Maklumat (Level 5 Diploma in IT Network), Diploma Tahap 5 dalam Pembangunan Web (Level 5 Diploma in Web Development), Diploma Tahap 5 dalam Data Analitik (Level 5 Diploma in Data Analytics), Diploma Tahap 5 dalam Sains Kesihatan (Kebersihan dan Terapi Gigi) [Level 5 Diploma in Health Science (Dental Hygiene & Therapy)], Diploma Tahap 5 dalam Sains Kesihatan (Perbidanan) [Level 5 Diploma in Health Science (Midwifery)].
Turut menerima graduan Diploma Tahap 5 dalam Sains Kesihatan (Kejururawatan) [Level 5 Diploma in Health Science (Nursing)], Diploma Tahap 5 dalam Sains Kesihatan (Paramedik) [Level 5 Diploma in Health Science (Paramedic)], Diploma Tahap 5 dalam Kejuruteraan Kimia (Level 5 Diploma in Chemical Engineering), Diploma Tahap 5 dalam Teknologi Peralatan Kimia (Level 5 Diploma in Chemical Equipment Technology), Diploma Tahap 5 dalam Teknologi Rawatan Air (Level 5 Diploma in Water Treatment Technology), Diploma Tahap 5 dalam Teknologi Loji Tenaga dan Sistem Tenaga (Level 5 Diploma in Power Plant and Power System Technology), Diploma Tahap 5 dalam Teknologi Penyimpanan dan Pengangkutan (Level 5 Diploma in Storage and Transportation Technology), Diploma Tahap 5 dalam Teknologi Loji Kuasa Terma (Level 5 Diploma in Thermal Power Plant Technology) serta Diploma Tahap 5 dalam Teknologi Makmal (Level 5 Diploma in Laboratory Technology).
Pada Konvokesyen Ke-11, daripada 897 orang graduan, seramai 184 orang graduan menerima sijil-sijil Diploma Tahap 5 bagi program Perniagaan, 172 orang bagi Teknologi Maklumat dan Komunikasi, 210 orang bagi program Sains dan Kejuruteraan, 156 orang bagi program Sains Kesihatan serta 175 orang graduan dari Diploma Tahap 5 di bawah program Petrokimia.

