Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis rai ekspatriat Bangladesh

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona berkongsi bahawa terdapat hampir 15 juta warga Bangladesh tinggal di 170 negara di seluruh dunia.

    “Ekspatriat Bangladesh memainkan peranan penting untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Bangladesh dan bersama-sama dengan ini, pertukaran pengetahuan, kemahiran, kepakaran dan teknologi menyumbang untuk mengukuhkan keadaan sosioekonomi Bangladesh.”

    Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Bangladesh kerana mengiktiraf sumbangan ekspatriat dengan mengisytiharkan Hari Ekspatriat Kebangsaan, yang pertama kali disambut.

    Beliau turut menghargai sumbangan Bapa Negara Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman kerana membuka peluang pekerjaan di luar negara untuk warga Bangladesh sejurus selepas kemerdekaan.

    Puan Yang Terutama berkata sedemikian semasa berucap pada sambutan Hari Ekspatriat Kebangsaan 2023 anjuran Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Brunei Darussalam di premisnya di Kampung Tanah Jambu, kelmarin.

    PYT Nahida Rahman Shumona menyampaikan sijil kepada salah seorang warga Bangladesh yang diberikan penghormatan pada majlis itu. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD
    Tetamu kehormat menyampaikan penghormatan kepada salah seorang warga Bangladesh terhadap sumbangan mereka di negara ini. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon.

    Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, diikuti dengan bacaan perutusan daripada presiden, perdana menteri dan menteri berkaitan Bangladesh oleh PYT Nahida Rahman Shumona dan pegawai-pegawai lain di suruhanjaya tinggi.

    Kemudian majlis diikuti dengan tayangan dokumentari untuk hari ekspatriat negara dan pembentangan mengenai Bangladesh Pintar: Wawasan Negara.

    Pada majlis itu, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh turut memberikan penghormatan kepada 24 tokoh terkemuka yang terdiri daripada 21 warga Bangladesh untuk mengiktiraf sumbangan dan usaha mereka yang bekerja dalam pelbagai sektor di negara ini termasuk pengajian tinggi, kesihatan, perniagaan, budaya dan sebagainya.

    Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Oman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Erma Said Mohamed Al Kathiry dan Charge D’ Affaires di Suruhanjaya Tinggi India di Brunei, SDK Menonas serta pegawai-pegawai kerajaan Brunei dan komuniti Bangladesh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda