Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Seramai 15 graduan biasiswa yang telah menamatkan pengajian dengan cemerlang telah diraikan pada Majlis Penghargaan dan Doa Kesyukuran bertempat di Balai Khazanah lslam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Majlis merupakan salah satu inisiatif bagi mendukung Rancangan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) 2020-2024 selaras dengan matlamat pertama Wawasan Brunei 2035 iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
Di samping tanda pengiktirafan, majlis diadakan juga sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas pencapaian cemerlang yang diraih para graduan biasiswa setelah berjaya menamatkan pengajian mereka di institusi-institusi pengajian di dalam mahupun luar negara.
Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar oleh Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan, diikuti dengan ucapan daripada Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Hajah Mariana binti Haji Jamil selaku pengerusi majlis.
Acara kemuncak majlis ialah penyampaian hadiah penghargaan kepada para graduan berkenaan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.