Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Malaysia dan Negara Brunei Darussalam memiliki hubungan istimewa dan mesra dengan kerjasama yang luas merentasi pelbagai bidang.
Menjangkau lebih 40 tahun, hubungan kedua-dua buah negara terus berkembang, ditunjangi oleh nilai-nilai Islam, budaya Melayu dan institusi beraja yang menjadi teras bersama.
Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini bin Atan ketika berucap pada Majlis Menaikkan Bendera Sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-68 yang berlangsung di Perkarangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei, hari ini.
Beliau menyatakan lagi bahawa pada awal minggu ini, telah menyaksikan Lawatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Malaysia sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-26 pada 25 hingga 27 Ogos.
“Rundingan tersebut merupakan platform utama bagi memberikan peluang kepada ketua kerajaan Malaysia dan Brunei membincangkan isu-isu berkepentingan bersama serta mencorak hala tuju kerjasama dua hala yang dapat menguntungkan rakyat kedua-dua buah negara.”
TYT Datuk Mohd Aini menyatakan bahawa kekerapan pertukaran lawatan di peringkat tertinggi merupakan cerminan jelas keutuhan hubungan istimewa antara Malaysia dan Brunei.
Mengulas mengenai hubungan kedua-dua buah negara dari sudut ekonomi, beliau berkata Brunei merupakan rakan dagang ke-6 terbesar Malaysia di kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM7.53 bilion (AS$1.77 bilion) pada 2024.





