Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis rai Hari Puja Usia Ratu Elizabeth II

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe menghoskan satu majlis makan tengah hari untuk meraikan Ulang Tahun Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Ratu Elizabeth II ke-95 yang berlangsung di Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, hari ini, majlis itu dihadiri oleh para menteri kabinet termasuk, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, ahli-ahli komuniti peniagaan, belia serta jemputan khas yang lain.

    Kenyataan menyatakan bahawa majlis tersebut menggantikan Majlis Resepsi Puja Usia KDYMM Paduka Seri Baginda Ratu Elizabeth II di mana ia dilihat sebagai tidak bersesuaian untuk diadakan berikutan kemangkatan Duli Yang Teramat Mulia Putera Philip.

    Kenyataan turut menyatakan bahawa ia merupakan kali pertama majlis seumpanya diadakan di Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi British sejak 1999.

    Dalam ucapannya, TYT John Virgoe menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom (UK) mempunyai hubungan persahabatan yang amat erat dan ia juga melambangkan tunggak utama hubungan berkenaan iaitu daripada hubungan mesra kerabat diraja kedua-dua buah negara, kepada hubungan pertahanan, pendidikan, perdagangan, kehakiman dan hubungan diplomatik serta juga keahlian bersama Brunei dan UK dalam keluarga Komanwel.

    TYT John Virgoe turut menyatakan bahawa Brunei merupakan sahabat yang paling rapat bagi UK di rantau itu, di mana hubungan itu telah menyaksikan perkembangan yang positif termasuk lawatan oleh Setiausaha Luar UK, Dominic Raab ke Negara Brunei Darussalam pada April lalu dan lawatan balas Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan ke London pada Mei lalu.

    Beliau turut mengalu-alukan perjanjian di antara Brunei dan UK untuk menubuhkan sebuah dialog strategik dan menyatakan penghargaan kepada Brunei atas sokongan kuatnya bagi permohonan UK untuk menjadi sebuah rakan dialog ASEAN.

    TYT John Virgoe turut mengetengahkan matlamatnya untuk menjadikan hubungan dua hala relevan kepada semua warga Brunei khususnya generasi muda dan kepada komuniti berbilang kaum Brunei serta juga bekerjasama dalam menangani isu-isu perubahan iklim dan isu global yang lain.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan, TYT John Virgoe, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara serta jemputan khas yang lain semasa sesi bergambar ramai pada majlis tersebut. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda