Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Majlis rai Hari Republik India ke-73

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam, malam ini, telah meraikan Hari Republik India ke-73 dengan majlis resepsi yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, di Gadong.

    Hadir bagi mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman berserta isteri.

    Dalam ucapannya, Charge d’Affairs, Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam, Alok Verma menyentuh mengenai hubungan dua hala antara India dan Brunei yang kekal kukuh.

    Beliau berkata India dan Brunei secara tradisinya menikmati hubungan mesra sejak hubungan diplomatik dijalin pada tahun 1984. Selama bertahun-tahun, hubungan ini telah berkembang merangkumi pelbagai aspek, yang dicirikan oleh semangat muhibah, saling menghormati dan memahami serta kerjasama pelbagai hala di antara kedua-dua negara.

    “Walaupun pandemik terus menyekat pertukaran lawatan fizikal, kami masih mengekalkan momentum dalam hubungan menerusi mesyuarat maya. Kedua-dua negara telah mencapai kemajuan yang ketara dalam bidang pertahanan, kesihatan dan perdagangan,” tambahnya.

    Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin dan Alok Verma berserta isteri masing-masing semasa menghadiri majlis resepsi sempena Hari Republik India ke-73 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.

    Pada majlis tersebut, Alok Verma turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Negara Brunei Darussalam atas kejayaan mengendalikan kepengerusiaan ASEAN bagi tahun 2021. 

    Sejak menjadi rakan dialog ASEAN pada tahun 1992, hubungan India dengan blok serantau telah meningkat dan berkembang berlipat kali ganda. Brunei telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan ASEAN-India. 

    “Kami akan menyambut tahun 2022 sebagai Tahun Persahabatan ASEAN-India untuk menandakan ulang tahun ke-30 hubungan ASEAN India.

    “Saya juga menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana memudahkan penghantaran pulang warga India yang terkandas di Brunei akibat pandemik. Setakat ini, lebih 2,371 warga India telah dihantar pulang menerusi 17 penerbangan Diraja Brunei. Sikap baik hati ini amat dihargai oleh mereka yang terjejas dan juga keluarga mereka”, ujarnya lagi.

    Di akhir ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi peng-hargaan kepada 7,500 komuniti India yang masih berada di negara ini, yang telah mengambil bahagian secara aktif dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Brunei dalam pelbagai sektor, termasuk kesihatan, pendidikan, minyak dan gas.

    Masyarakat memainkan peranan penting dalam membangunkan hubungan rakyat dengan rakyat dan dalam memelihara dan mempromosikan budaya India di Brunei.

    Terdahulu, majlis resepsi telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara dan acara memotong kek sempena Hari Republik India ke-73 tahun oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi dan Charge d’Affairs, Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...