Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Pasukan Kadet Tentera Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Unit Kokurikulum, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UNISSA telah mengadakan majlis makan malam tahunan di London Hall, Airport Mall, Berakas, baru-baru ini.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh 905 Mejar Saleha binti Haji Alim selaku tetamu kehormat majlis. Turut hadir ialah guru pengawas Kadet Tentera UNISSA, Hajah Amalena binti Haji Jarudin dan Haji Muhammad Danish Iqbal bin Haji Ariffin.
Antara tujuan majlis berkenaan adalah untuk meraikan dan memperingati penubuhan Pasukan Kadet Tentera UNISSA ke-14 tahun selain untuk mengeratkan tali silaturahim antara ahli Pasukan Kadet Tentera UNISSA dengan alumni-alumni sejak pasukan itu ditubuhkan.
Di samping itu, acara tersebut diadakan sebagai bentuk penghargaan kepada jurulatih-jurulatih dan pentadbiran UNISSA yang terlibat dalam menjayakan dan memajukan pasukan kadet berkenaan.
Majlis menyaksikan empat orang ahli Pasukan Kadet Tentera UNISSA telah menerima anugerah Kadet Terbaik iaitu Awang Muhammad Abdullah Danial bin Mohammad Noor, Dayang Anis Hazira binti Mohd Azmi, Awang Muhd Akmal Faiz bin Jamal dan Dayang Fathul Asyiqin @ Fadhlin binti Doming.
Dua orang ahli pula telah menerima anugerah Fitness Terbaik iaitu Awang Nazirul Hadi bin Haji Aladdin dan Hajah Bazlaa’ Munirah binti Haji Ali Hassan.
Manakala itu, Dayang Anis Hazira binti Mohd Azmi dan Awang Muhd Akmal Faiz bin Jamal masing-masing telah menerima anugerah Akademik Terbaik.
Majlis makan malam itu adalah acara tahunan Pasukan Kadet Tentera UNISSA sejak 13 tahun yang lalu.



