Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Seramai 185 mualaf dari keempat-empat daerah yang mengikuti Kelas Bimbingan Mualaf dan tujuh tenaga pengajar kelas tersebut yang mengajar lebih 10 tahun hari ini menerima sijil mereka pada Majlis Penyampaian Sijil Kelas Bimbingan Mualaf Pusat Dakwah Islamiah (PDI) kali ke-2 bagi Tahun 1445-1446 Hijrah/2023-2024 Masihi yang diadakan di Dewan Persidangan, PDI.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Datin.
Majlis anjuran PDI itu dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Mualaf) dengan kerjasama Unit Dakwah Daerah Tutong, Unit Dakwah Daerah Belait dan Unit Dakwah Daerah Temburong.
Peserta yang menerima sijil itu telah berjaya menamatkan Kelas Bimbingan Mualaf 2 iaitu Kelas Iqra; dan Kelas Bimbingan Mualaf 3 iaitu Kelas Al-Quran.
Terdahulu, Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan latar belakang Kelas Bimbingan Mualaf, di mana ia merupakan kelas bimbingan yang mula-mula sekali dilaksanakan semenjak tahun 1985 hingga sekarang.
“Kelas bimbingan itu merupakan satu program yang disediakan khusus bagi para mualaf di negara ini sebagai platform untuk belajar agama Islam, bacaan Al-Quran, Fardu Ain dan Fardu Kifayah,” jelasnya.
Katanya lagi, “Sehingga sekarang sebanyak 18 tempat Kelas Bimbingan Mualaf telah dibuka di keempat-empat daerah sama ada di bandar, pedalaman dan secara dalam talian.”
Beliau turut mengongsikan, dua platfom kelas bimbingan itu telah dibukakan secara dalam talian kepada para mualaf yang antara lain bertujuan untuk memberikan peluang dan kesempatan kepada mereka yang tidak berkesempatan menghadiri kelas bimbingan secara fizikal.
Bagi melaksanakan program tersebut, tambahnya, seramai 34 guru pembimbing yang berkemahiran telah dilantik dan ditempatkan untuk mengajar di kelas-kelas bim-bingan di setiap daerah.
Selain itu, beliau mengongsikan kelas tersebut telah melancarkan Kelas Seni Tarannum Al-Quran baru-baru ini.
Ia antara lain bertujuan memberikan pendedahan kepada mualaf yang meminati bidang tarannum Al-Quran.
“Di samping juga sebagai salah satu platform persiapan bagi para mualaf yang akan menyertai Musabaqah Membaca Al-Quran bagi peringkat mualaf sama ada peringkat negara, Borneo atau serantau,” jelasnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai oleh tetamu kehormat.
Acara diserikan lagi dengan Majlis Khatam Al-Quran oleh peserta Kelas Bimbingan Mualaf 3 di seluruh daerah dan diikuti persembahan nasyid dari Kelas Bimbingan Mualaf Kampung Batang Mitus, Daerah Tutong.
Seterusnya penyampaian sijil dan cenderahati penghargaan telah disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Majlis Penyampaian Sijil Kelas Bimbingan Mualaf adalah sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada para mualaf yang berjaya mengikuti Kelas Iqra dan Kelas Al-Quran.
Dengan adanya kelas bimbingan berkenaan secara berterusan dihasrat akan dapat menggalakkan mualaf untuk lebih giat mempelajari serta menghayati bacaan Al-Quran, seterusnya melahirkan para mualaf yang celik Al-Quran dan berjaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran.