Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) telah meraikan pencapaian para pelajar Tahun 10 hingga 12 dalam majlis sambutan yang berlangsung di Pusat Kesenian JIS.
Semasa majlis itu, para pelajar yang menunjukkan pencapaian akademik yang luar biasa, kepimpinan dan penglibatan sepanjang tahun diraikan di hadapan keluarga, guru dan rakan sebaya mereka.
Hadir semasa majlis tersebut ialah Pengetua JIS, Nicholas Sheehan yang turut menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para pelajar yang diraikan.
Majlis Sambutan Pencapaian Tahun 10 hingga 12 tersebut telah dipimpin oleh ahli-ahli majlis pelajar senior sekolah dan penerima anugerah serta dihoskan oleh pelajar Tahun 11, Hana Hamzah dan pelajar Tahun 12, Amniah Malik.
Antara yang diraikan pada majlis itu ialah anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah yang menerima anugerah Outstanding Academic Effort dan Teaspoons of Change JIS.
Menambah pencapaian sebelum ini, Yang Teramat Mulia juga telah menerima Anugerah Emas dalam Intermediate Maths Challenge (IMC), yang dikendalikan oleh United Kingdom Mathematics Trust (UKMT).
Turut menerima anugerah pada majlis itu ialah Maryam Mazini (Tahun 10), Illyas Ilham Rohaidi (Tahun 10), Syafiqah Sepiee (Tahun 10), Haris Romi Irwin (Tahun 11), Nasriyah Nor Asilin (Tahun 11), Aleesya Abdul Rahman (Tahun 12), Afiq Rahman (Tahun 12), Nazif Nadzri Radhi (Tahun 12), Amal Azerin (Tahun 12), Shannon Lau (Tahun 12) dan Ain Aji (Tahun 12).
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Nicholas Sheehan antara lain menjelaskan bahawa majlis berkenaan bertujuan bagi meraikan kerja keras dan dedikasi pelajar peringkat atas sekolah berkenaan.
