Thursday, January 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis rai pemenang APICTA 2024

    Oleh Salawati Haji Yahya –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Anugerah Bersekutu ICT Asia Pasifik (APICTA) berakhir dengan pengumuman pemenang serta penyampaian trofi dan sijil kepada lebih 120 penerima, daripada pelbagai kategori yang dipertandingkan, pada Malam Anugerah APICTA 2024 yang berlangsung di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun, kelmarin.
     
    Di majlis itu, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah bagi Kategori Teknologi dan Kategori Silang.
     
    Antara pengiktirafan yang paling dihargai adalah Anugerah Pilihan Ramai dalam kategori Penuntut Senior dan Projek Penuntut Pengajian Tinggi, di mana pemenang ditentukan oleh jumlah undian awam tertinggi. Anugerah ini menekankan kepentingan peranan golongan muda dalam memacu inovasi dan berinteraksi dengan komuniti melalui penyelesaian teknologi yang memberikan impak.
     
    Acara itu menyaksikan lebih daripada 270 penyertaan daripada lebih 180 pasukan yang mengambil bahagian dalam kalangan anggota ekonomi APICTA. 
     
    Penyertaan dinilai dalam 24 kategori, termasuk sub-kategori di bawah Pengguna, Perkhidmatan Masyarakat dan Penglibatan, Perindustrian, Perkhidmatan Perniagaan, Sektor Awam dan Kerajaan, Penuntut, Kategori Silang dan Anugerah Teknologi.
     
    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bergambar ramai pada Malam Anugerah APICTA 2024. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: Nextacloud Technologies memenangi kategori Perkhidmatan Masyarakat dan Penglibatan dan Progresif memenangi kategori Perbankan, Insurans dan Kewangan pada majlis iru. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara pemenang anugerah APICTA 2024 itu termasuk Progresif Sdn Bhd dengan produk Progresif Ding! diumumkan sebagai pemenang tempat pertama dalam kategori Pengguna, sementara Alquatic Enterprise dengan produk Alquatic memenangi tempat kedua dalam kategori Internet of Thing dan tempat ketiga bagi kategori Projek Penyelidikan dan Pembangunan Tahun Itu serta Pertanian, Bekalan dan Kemapanan. 
     
    Sementara itu, Nextacloud Technologies Sdn Bhd dengan produk Bloodkad pula diumumkan sebagai pemenang tempat pertama dalam kategori Perkhidmatan Masyarakat dan Asas manakala Datastream Digital Sdn Bhd (DST) di tempat ketiga dengan produk eZakat.
     
    Bagi kategori Penuntut pula, Mahad Islam Brunei dengan produk Mr Grabbish 2.0 menerima anugerah merit untuk kategori Penuntut Junior; Sekolah Menengah Chung Hwa, mendapat tempat ketiga dan menerima anugerah merit untuk kategori Projek Penuntut Senior: Aplikasi; Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan produk Intelligent Maqra’ah Online Al-Quran  menerima anugerah merit dalam kategori Projek Penuntut Pendidikan Tinggi: Aplikasi.
     
    Sementara itu, pemenang tempat ketiga bagi kategori Teknologi di bawah sub tema Business Data Analytic pula dimenangi oleh Kementerian Kesihatan dengan produk BruHealth-Population Health and Health Service Delivery.
     
    Majlis itu turut menyaksikan pemenang bagi Anugerah Pilihan Ramai yang dimenangi oleh dari negara Thailand dan juga Pakistan.
     
    Anugerah APICTA diadakan setiap tahun sebagai platform untuk pertandingan di rantau Asia Pasifik dalam produk dan penyelesaian digital yang inovatif, mengiktiraf daya saing dan potensi mereka pada peringkat Asia Pasifik. 
     
    Pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam berpeluang menjadi tuan rumah Anugerah APICTA 2024, yang dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Brunei Darussalam (AITI) dan InfoCom Federation Brunei (IFB).
     
    Sejurus selesai penyampaian anugerah tersebut, di ruang berasingan menyaksikan penyerahan Anugerah APICTA kepada Chinese Taipei iaitu sebagai negara tuan rumah seterusnya bagi APICTA 2025.
     
    APICTA 2024 telah berkenan dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, semasa berangkat ke Majlis Perasmian dan Sambutan Gala APICTA 2024 di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei, baru-baru ini.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda