Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Para penyampai ucaptama serta jemputan luar yang terlibat dalam Persidangan Antarabangsa Universiti-universiti Islam (ICIU) 2023 telah diraikan dalam majlis resepsi makan malam di Tarindak D’Seni, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Turut hadir ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku Pengerusi Jawatankuasa Pandu ICIU 2023; Pengerusi ICIU 2023, Profesor Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad; ahli-ahli Majlis UNISSA, pegawai-pegawai utama UNISSA dan para peserta persidangan.
Antara pengisian majlis berkenaan ialah penyampaian hadiah dan sijil poster dan kertas terbaik kepada peserta ICIU 2023.
Dalam pada itu, poster terbaik bertajuk Peranan Neurosains dalam Peningkatan Teknik Hafazan Al-Quran disandang oleh salah seorang mahasiswi Master by Research, Fakulti Usuluddin, Dayang Nurbazilah Sakynah binti Tahir.
Pemenang bagi kertas kerja terbaik dengan membawa tajuk The Impact of Islamic Value-Based Productivity in Islamic Higher Educational Institution diperoleh oleh Nurul Ain Mohd Rosli, Norazilawati Md Dahlal, Hamazah Mohd Salleh dan Dayang Anis Najiha Ahmad dari Universiti Antarabangsa Malaysia.
Adapun persidangan berkenaan diadakan adalah untuk mengongsikan pengalaman dan amalan terbaik institut pengajian tinggi Islam (IPTI) dalam memperkasakan pendidikan tinggi Islam sesuai dengan keperluan pendidikan abad ke-21.
Selain itu, ianya juga akan membincangkan isu-isu penting dan cabaran dalam mengekalkan keperluan kurikulum pengajian Islam dalam menghadapi perubahan global serta mencadangkan jalan penyelesaiannya.
Persidangan dengan membawa tema Lanskap Pendidikan Tinggi Islam Abad ke-21: Strategi dan Hala Tuju itu juga diharap akan mengeratkan lagi jaringan kerjasama dengan IPTI secara global bagi tujuan melestarikan pendidikan Islam.