TUTONG, 20 JULAI – Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dan Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) dengan Kerjasama ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal, Daerah Tutong telah mengadakan Pertandingan Tarhim Subuh Bagi Bilal, Merbut dan Pelapis Bilal Masjid bertempat di Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal, Daerah Tutong.
Muncul sebagai johan dalam pertan-dingan tersebut ialah Awang Abdul Khaliq Qusyairi bin Ahmad dari Masjid RPN Kampung Bukit Beruang.
Manakala, tempat kedua disandang oleh Awang Muhd Jilimi bin Muhd Solihen dari Masjid Kampung Bukit dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Awang Muhammad Nurhafizan @ Nur Syaizan bin Saban dari Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Haji Mohd Aidil Sufian bin Mohd Yassin yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang serta memberikan sokongan kepada para peserta yang mengambil bahagian.
Antara objektif pertandingan adalah untuk memberi peluang kepada bilal dan merbut masjid, termasuk pelapis, untuk mempersembahkan bacaan tarhim subuh secara baik dan sempurna.
Selain meningkatkan mutu bacaan, pertandingan itu juga diharap dapat memupuk rasa tanggungjawab dalam memperkasakan peranan masjid sebagai pusat ibadah dan komuniti.
Pertandingan berkenaan juga merupakan antara rancangan tahunan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dalam usaha berterusan memartabatkan institusi masjid serta mengeratkan tali silaturahim sesama pegawai dan pelapis masjid di daerah berkenaan.
Pertandingan seumpama itu diharapkan terus menyemarakkan semangat keislaman dan keimanan serta mengukuhkan kesatuan Islamiah dalam kalangan para jemaah dan masyarakat sekeliling, sekali gus mengimarahkan lagi masjid-masjid di Daerah Tutong.
