Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis rai pencapaian pelajar, guru sekolah menengah

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Sebagai pengiktirafan atas segala kejayaan yang diraih, Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA) telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Pengajian dan Anugerah Akademik Peperiksaan BC GCE O Level Tahun 2023 di Dewan Puteri, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), petang tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi sama-sama menyempurnakan penyampaian sijil tamat pengajian dan anugerah akademik ialah Pemangku Pengarah Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Dr Eddy Fazlin bin Haji Amdan yang dialu-alukan oleh Pengetua SM SMJA, Dayang Norhashimah binti Haji Burut.

    Majlis telah menyaksikan seramai 74 orang graduan yang berjaya mendapat lima kredit dan ke atas menerima sijil tamat pengajian mereka di SM SMJA, 30 orang meraih Anugerah Pelajar Cemerlang dengan mendapat tujuh atau lapan kredit penuh dan diikuti dengan Anugerah Galakan Penuntut Zon Hijau kepada 15 orang pelajar.

    Tujuh orang pelajar pula menerima Anugerah Pelajar Cemerlang A*, dan Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan diberikan kepada seorang pelajar.

    Selain itu, majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Insentif kepada 24 orang guru yang berjaya meningkatkan peratus keputusan BC GCE O Level dalam subjek masing-masing.

    Timbalan Pengetua Pentadbiran SM SMJA, Dayang Suhana binti Ramli dalam ucapan alu-aluannya antaranya menaruh harapan agar golongan pelajar di mana pun keberadaan mereka dalam berdepan dengan situasi mencabar untuk sentiasa menyemai dalam jiwa moto sekolah iaitu Siap Siaga Menuju Jaya dan Amal, di samping sentiasa menanamkan pemikiran dinamik dan berdaya saing lebih-lebih lagi untuk sama-sama merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

    Antara pelajar yang menerima sijil tamat pengajian dan anugerah akademik yang disampaikan oleh Dr Eddy Fazlin pada majlis di Dewan Puteri, STPRI, kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda