Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 4 DIS – Lebih 170 pelajar dari Pusat Tingkatan Enam Belait (PTEB) meraikan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan akademik mereka pada Majlis Anugerah Akademik dan Graduasi tahunan sekolah yang diadakan di kawasan legar kampus berkenaan pada 30 November lalu.
Majlis itu menandakan kejayaan pelajar Pra U2 yang telah menamatkan pengajian A Level mereka, serta mengiktiraf pencapaian pelajar Pra U1 dan Pra U2 dalam Peperiksaan Kelayakan 2024.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Wan Mustaqim bin Wan Muhaimin, seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sekolah.
Acara diteruskan dengan ucapan daripada Pengetua PTEB, Chin Ai Fong, di mana beliau mengucapkan tahniah kepada penerima anugerah dan para graduan sambil merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua yang telah memberi sumbangan terhadap kejayaan para pelajar.
Memetik kata-kata Nelson Mandela, “Pendidikan ialah senjata paling berkuasa yang boleh awda gunakan untuk mengubah dunia,” pengetua menggesa para graduan melihat majlis tersebut sebagai permulaan bab baru yang penuh dengan impian dan peluang, di mana masa depan yang lebih cerah boleh dibentuk melalui pendidikan.
Sijil dan plak anugerah telah disampaikan oleh pengetua kepada penerima dalam pelbagai kategori. Antara penerima anugerah, 14 pelajar Pra U1 menerima anugerah Top in Subject, manakala empat pelajar menerima anugerah Top in Overall dengan memperoleh sekurang-kurangnya gred A dalam dua subjek dan minimum gred C dalam subjek lain.
Manakala, 15 pelajar Pra U2 menerima anugerah Top in Subject, sementara 12 diberikan anugerah Top in Overall kerana berjaya memperoleh sekurang-kurangnya 320 mata tarif dan lulus semua subjek mereka.
Selain itu, 152 pelajar Pra U2 turut menerima sijil sebagai tanda tamat pengajian mereka dari pengajian tingkatan enam.
Antara acara utama majlis itu ialah ucapan daripada tiga wakil pelajar, Chan Meng Jiun dari Pre U2/Sc3, Ashley Chung Jia Hui dari Pra U2/Sc2 dan Dayang Nur Fauzana binti Mohd Ali dari Pra U2/H1.
Majlis berakhir dengan penyampaian Piala Pengetua kepada kumpulan Independence House, yang mengumpul mata terbanyak tahun ini melalui pelbagai aktiviti termasuk sukarelawan, hari sukan dan acara kokurikulum lain. Piala kenangan telah disampaikan oleh pengetua kepada rumah yang menang.