Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Bersempena dengan Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2024, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) petang tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran dan penyampaian hadiah bagi Musabaqah Tilawatil Al-Quran PKWE seluruh daerah di Dewan Auditorium Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Seramai 14 orang peserta daripada kalangan ahli PKWE di seluruh daerah telah menyertai musabaqah bertujuan untuk memupuk persahabatan dalam kalangan warga emas melalui program keagamaan selain mempertingkat mutu pembacaan Al-Quran.
Daripada jumlah itu, lapan orang peserta telah bertanding dalam pusingan akhir yang diadakan pada 30 September lalu.
Muncul sebagai johan qari dan qariah ialah Haji Saifuzaman bin Haji Apong dan Hajah Alimah binti Haji Matassan. Naib johan qari dan qariah pula disandang oleh Awang Emran bin Nasir dan Hajah Dayang binti Jais. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Haji Bakar bin Burut dan Hajah Kamsinah binti Gulam Mohammad.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah berupa piala dan sijil penyertaan kepada pemenang ialah Menteri Pembangunan selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat selaku pengerusi majlis, Dayang Siti Zaharah binti Haji Abdul Razak.
Dayang Siti Zaharah menyatakan bahawa Hari Antarabangsa Warga Emas disambut setiap 1 Oktober bagi negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan tema pada tahun ini Meniti Usia dengan Bermaruah: Kepentingan Memperkukuh Sistem Penjagaan dan Sokongan untuk Warga Emas Seluruh Dunia.
Sebagai salah sebuah daripada lima negara teratas ASEAN yang menuju ke arah ageing population, tidak dapat dinafikan bahawa warga emas tidak sama sekali akan dilupakan dalam usaha bersama untuk menentukan kesejahteraan yang berkekalan di Negara Brunei Darussalam.
Ia adalah cerminan warga emas sebagai insan yang kaya dengan pengalaman dan khazanah pengetahuan, yang berani menyumbangkan buah fikiran dan membimbing generasi terkini dan yang akan datang.
Dalam kesempatan ini, beliau juga memaklumkan buat julung-julung kalinya pada tahun ini, KKBS telah mengadakan Pertandingan Musabaqah Tilawatil Al-Quran sempena Hari Antarabangsa Warga Emas 2024, yang disertai 14 orang peserta terdiri daripada lima peserta lelaki dan sembilan peserta perempuan di peringkat saringan, manakala lapan orang peserta telah bertanding di peringkat akhir, iaitu empat peserta lelaki dan empat peserta perempuan.
Selain itu, beliau amat mengalu-alukan PKWE untuk terus menambah dan meningkatkan usaha-usaha yang sudah dilaksanakan khususnya dalam memaksimumkan pelbagai platform yang disediakan.
Majlis diteruskan dengan pengumuman keputusan Musabaqah Tilawatil Al-Quran PKWE bagi tahun 1446H/2024M oleh pengerusi jemaah hakim yang dilantik oleh KHEU, Haji Masri bin Haji Mohammad, diikuti bacaan ayat suci Al-Quran oleh johan qari dan qariah.
Majlis diakhiri dengan Doa Kesyukuran dan Doa Allah Peliharakan Sultan yang dibacakan oleh Awang Mohamad Shahrin bin Sulaiman.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan dari KKBS, KHEU, ahli Jawatankuasa Kerja Pelan Tindakan Warga Emas, ahli-ahli PKWE seluruh daerah; Pertubuhan Wargamas; persatuan-persatuan bukan kerajaan dan rakan-rakan strategik KKBS.