Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis rai sumbangan luar biasa pemuliharaan laut

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Seramai 124 tetamu termasuk penyokong kelestarian laut, pemimpin dan belia pencetus perubahan telah menghadiri The Ocean Gala Night bagi meraikan berakhirnya acara Minggu Lautan Brunei (OWB) 2025 yang berlangsung sejak tiga bulan lalu pada majlis yang diadakan di Hotel Radisson kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Poni, Anna Aziz, diikuti ucapan pembukaan oleh Penolong Naib Canselor (Penyelidikan, Inovasi dan Kelestarian) Universiti Brunei Darussalam, Dr Haji Abdul Hanif bin Dato Paduka Haji Mahadi.

    Salah satu acara penting adalah ucaptama maya oleh jurugambar bawah air, peneroka dan aktivis pemuliharaan laut tersohor, Michael Aw, yang pernah bekerjasama dengan pakar biologi marin terkenal dunia, Dr Sylvia Earle.

    Beliau yang berucap dari Singapura menekankan bahawa apa yang berlaku di lautan memberi kesan kepada manusia melalui rantaian makanan, cuaca dan kehidupan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa menyaksikan pameran pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bergambar ramai pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Beliau mengajak para hadirin menyokong gerakan pemuliharaan laut seperti The Big Ace Petition serta memuji usaha pemuliharaan laut Brunei, khususnya kejayaan menjadi negara Asia pertama mengharamkan penjualan sirip yu pada 2013.

    Majlis seterusnya menyaksikan pelancaran rasmi video OWB 2025 dan pembentangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Poni Group, Awang Mohd Tahsin Wong Abdullah, yang merumuskan perancangan kumpulan pada masa akan datang termasuk fokus kepada ekonomi laut, peluang pekerjaan berkaitan lautan dan sumber tenaga boleh diperbaharui dari laut.

    Sementara itu, Koordinator Coordinating Body on the Seas of East Asia di bawah UNEP, Mahesh Pradhan turut menyampaikan pengiktirafan kepada Ocean Leaders dan Innovators Brunei, diikuti penyampaian Anugerah Lautan bagi menghargai sumbangan
    luar biasa dalam inovasi berkaitan laut.

    Bagi Pertandingan Ocean Voices Youth Video, Kategori Senior dimenangi oleh Dayang Nur’aini Syahmina Zarifah Haji Zainol Shamri dari Pusat Tingkatan Enam Tutong, manakala Kategori Junior dimenangi oleh Awang Abdul Raziq Syahmi Abdul Halim dari Mahad Islam Brunei. Setiap pemenang menerima wang tunai $250, kursus menyelam bernilai sehingga $1,000 dan promosi media.

    Selain itu, Ocean Youth Grant Award Kategori Junior dimenangi oleh pelajar Sekolah Menengah Berakas dengan projek robot pembersih sungai bercetak 3D Terraqua bernilai $2,000, dan Kategori Senior dimenangi oleh Fatih Aquaculture dengan dana $3,000 untuk inovasi pemantauan kolam ikan.

    Anugerah tertinggi, Ocean Hero Award, disampaikan kepada Awang Ahmad Fathi bin Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan atas sumbangan luar biasa terhadap pemuliharaan dan ekonomi laut melalui pendidikan, penglibatan komuniti dan kepimpinan dalam bidang akuakultur dan teknologi biru. Beliau menerima wang tunai $500, sokongan media profesional, kursus menyelam bernilai sehingga $1,000 dan akses kepada Ocean Hero Network.

    Majlis turut menampilkan dua lelongan untuk menyokong inisiatif seni mempromosi pemuliharaan laut, termasuk karya kayu bakar oleh pelajar tempatan dan lukisan oleh artis Brunei, Huifong Ng.

    OWB dijangka kembali pada 2026 dengan komitmen lebih kukuh ke arah kelestarian lautan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda