Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Sekolah Arab Temburong meraikan seramai 63 pelajar yang mencapai kecemerlangan akademik bagi tahun 2024 di Majlis Hari Pelajar yang berlangsung di Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Temburong hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Mulia Awang Hassan Baha bin Haji Umar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah A-Fatihah, Doa Selamat dan diikuti nyanyian lagu kebangsaan dan lagu rasmi sekolah.
Seterusnya ucapan alu-aluan oleh Guru Besar Sekolah Arab Temburong, Dayang Serikartini binti Haji Omar, diikuti dengan persembahan oleh pelajar-pelajar dan kemudiannya penyampaian hadiah serta sijil oleh tetamu kehormat kepada para pelajar yang diraikan.
Majlis juga turut diselajurkan dengan Haflut Takharruj bagi pelajar-pelajar Tahun 8 yang menamatkan pembelajaran di sekolah berkenaan.