Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Ramah Mesra BCFA eratkan persahabatan

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar oleh Bahyiah Bakir

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, kelmarin telah berkenan berangkat menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran Persatuan Persahabatan Brunei-China (BCFA) di Tarindak D’Seni, di sini.

    Mengiringi Yang Teramat Mulia ke majlis berkenaan ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

    Presiden BCFA, Dr Muhammad Firdaus bin Abdul Rahman dalam sembah alu-aluannya pada majlis berkenaan menyatakan bahawa persatuan berkenaan merupakan sebuah pertubuhan yang ditubuhkan dengan tujuan untuk menjalin hubungan persahabatan dalam kalangan rakyat negara-negara sahabat dalam pelbagai bidang termasuk kemasyarakatan, kebudayaan, pendidikan dan ekonomi.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan menerima junjung ziarah daripada para peserta persembahan pada majlis berkenaan.
    Haji Ahmad Morshidi menyampaikan derma kepada anak-anak yatim.

    Dengan adanya majlis ramah mesra Aidilfitri yang diadakan, jelasnya, ia memberikan peluang bagi rakan dan saudara dari pelbagai negara ASEAN serta China untuk mengetahui serba sedikit cara hidup dan budaya masing-masing.

    “Selain itu, majlis ini juga dianjurkan sebagai satu usaha untuk mempromosikan konsep Melayu Islam Beraja yang mengajar kita agar sentiasa mengamalkan konsep kesederhanaan dan muafakat dalam hidup bermasyarakat di samping memperkenalkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada rakan-rakan yang bukan beragama Islam,” tambahnya.

    Semasa majlis berkenaan, YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan menyaksikan penyampaian sumbangan kepada seramai 20 orang anak yatim daripada Pengerusi Majlis Ramah Mesra Aidilfitri, Haji Ahmad Morshidi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda