Oleh Sim Y. H
TEMBURONG, 24 OGOS – Penduduk Daerah Temburong tidak melepaskan peluang untuk sama-sama keluar dan berkumpul dari awal pagi lagi dengan penuh semangat perpaduan untuk menjunjung keberangkatan, merafakkan sembah menjunjung kasih serta taat setia ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang berkenan berangkat bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar, Daerah Temburong, hari ini.
Berangkat bersama ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Cuaca cerah pada waktu pagi di Daerah Temburong bagai mengalu-alukan segenap lapisan rakyat dan penduduk daerah Permata Hijau, untuk keluar sama menjunjung keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat-kerabat Diraja.
Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Daerah Temburong merupakan yang pertama dan pembuka tirai sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-79 tahun bagi majlis junjung ziarah bersama-sama rakyat.
Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja ke Pentas Diraja dialu-alukan dengan pukulan hadrah serta dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman serta Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.
Baginda Sultan berserta kerabat diraja dijunjung ke Pentas Diraja dan lagu kebangsaan, Allah Peliharakan Sultan dimainkan.
Baginda Sultan berserta kerabat Diraja kemudian dijunjung untuk menyaksikan Persembahan Khas bertemakan, Raja Berwawasan Inspirasi Kesejahteraan dan Kemakmuran Negara, daripada kumpulan-kumpulan belia remaja dan kanak-kanak yang ceria, bertenaga dan penuh warna-warni yang mengandungi tiga segmen serta melibatkan penyertaan daripada murid-murid dan penuntut-penuntut sekolah dan belia di Daerah Temburong.

Seterusnya, Baginda Sultan berserta kerabat Diraja dijunjung berangkat menerima junjung ziarah daripada rakyat dan penduduk Daerah Temburong dan merupakan daerah pertama yang menerima Keberangkatan Baginda Sultan serta kerabat-kerabat Diraja yang berangkat bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong.




Majlis menyaksikan penyertaan dan kehadiran pelbagai persatuan dan kumpulan yang sama-sama memeriahkan lagi majlis junjung ziarah termasuk Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Temburong, Bank Islam Brunei Darussalam, Persatuan Veteran ABDB Cawangan Temburong (PERWIRA), Persatuan Anggota Polis Diraja Brunei Yang Bersara (POLSARA), Persatuan PERTIWI Daerah Temburong, AJK Takmir Masjid Daerah Temburong, Persatuan Saudara Baru Temburong (PESAT), Sekolah Menengah Sultan Hassan, Persatuan Cina, Persatuan Masyarakat Iban Temburong (PMIT) dan Persatuan Lun Bawang Murut Brunei.
Majlis berkenaan merupakan salah satu acara yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat dan penduduk daerah berkenaan sebagai peluang untuk beramah-mesra dengan raja dan pemimpin yang amat dikasihi.

