Friday, March 14, 2025
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis resepsi diplomatik Indonesia meriah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Sempena Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-74, Kedutaan Besar Indonesia di Bandar Seri Begawan, baru-baru ini, telah mengadakan majlis resepsi diplomatik dan malam kebudayaan yang berlangsung di Dewan Teater Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung pada 28 Ogos lalu itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Majlis dihadiri oleh kira-kira 700 jemputan yang terdiri daripada pesuruhjaya tinggi dan duta besar negara luar ke Negara Brunei Darussalam, pegawai-pegawai kanan kerajaan, mantan duta besar Brunei Darussalam ke Indonesia, mantan duta besar Indonesia ke Brunei Darussalam, para pengusaha terkemuka serta warga Brunei dan Indonesia lainnya.

    Pada majlis itu, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko telah mengongsikan perkembangan terkini Indonesia dalam bidang politik, ekonomi, dan sosial.

    Mengenai hubungan Brunei Darussalam dan Indonesia, Tuan Yang Terutama berkata bahwa tahun ini bertepatan dengan peringatan ke-35 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

    Menurut beliau, ikatan hubungan berkenaan semakin kukuh seperti yang dapat disaksikan melalui komitmen bersama untuk mengutamakan kerjasama bilateral dalam pelbagai sektor.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sambutan tersebut diikuti dengan upacara memotong nasi tumpeng, penyerahan cenderahati dan sesi bergambar sama.

    Kemuncak acara adalah pertunjukan budaya selama dua jam yang memukau dengan menampilkan pelbagai warisan budaya Indonesia, daripada tarian tradisional, pertunjukan muzik hingga demonstrasi seni bela diri tradisional, sambil jemputan menikmati berbagai-bagai hidangan ringan Indonesia yang disajikan oleh beberapa restoran Indonesia di Bandar Seri Begawan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika memotong nasi tumpeng pada majlis resepsi diplomatik tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda