Thursday, May 1, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis resepsi erat hubungan Brunei-Pakistan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Suruhanjaya Tinggi Pakistan ke Negara Brunei Darussalam semalam telah menganjurkan majlis resepsi diplomatik bersempena dengan Sambutan Hari Resolusi Pakistan, iaitu peristiwa bersejarah yang menjadi asas kepada penubuhan negara Pakistan pada 23 Mac 1940.

    Majlis berkenaan telah diserikan dengan kehadiran Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohammad dan isteri.

    Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Pakistan, Tuan Yang Terutama Kolonel (B) Pengiran Haji Kamal Bashah bin Pengiran Haji Ahmad dan para anggota Kor Diplomatik, pegawai kanan kerajaan, serta tetamu-tetamu kehormat daripada sektor awam dan swasta Brunei, termasuk sahabat-sahabat Pakistan.

    Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara. Acara kemudian diikuti dengan sesi memotong kek dan bergambar ramai yang menggambarkan hubungan persahabatan erat dan ikatan budaya antara Pakistan dan Negara Brunei Darussalam.

    Majlis tersebut membawa erti istimewa kerana merupakan acara rasmi pertama yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Janbaz Khan, selepas beliau menerima surat tauliah sebagai pesuruhjaya tersebut pada 21 April 2024. Majlis itu juga bertepatan dengan suasana penuh keberkatan sempena musim Hari Raya Aidilfitri.

    Dalam ucapannya, TYT Janbaz Khan menekankan kepentingan berterusan Hari Resolusi Pakistan, serta mengangkat peranan kepimpinan berwawasan Quaid-e-Azam Muhammad Ali Jinnah dan Allama Iqbal dalam merealisasikan aspirasi umat Islam di sub-benua untuk memiliki sebuah negara yang merdeka.

    Tuan Yang Terutama turut menegaskan komitmen berterusan Pakistan untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Negara Brunei Darussalam melalui semangat saling menghormati, perkongsian budaya dan nilai-nilai bersama.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dan TYT Kolonel (B) Pengiran Haji Kamal Bashah bersama TYT Janbaz Khan memotong kek bagi memeriahkan lagi majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Sesi gambar ramai pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda