Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 FEB – Bagi meraikan Hari Kebangsaan Republik Islam Iran ke-46, Kedutaan Republik Islam Iran di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Majlis Resepsi yang berlangsung di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, malam kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan isteri.
Turut hadir bagi mengalu-alukan kehadiran tetamu kehormat majlis ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang
Terutama Mohammad Taghi Rajabi dan isteri.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam Allah Peliharakan Sultan dan lagu kebangsaan Republik Islam Iran, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Dalam ucapan pada majlis berkenaan, Tuan Yang Terutama Mohammad Taghi Rajabi antaranya menjelaskan, hubungan diplomatik antara Republik Islam Iran dan Negara Brunei Darussalam telah dijalin sejak tahun 1990.
“Tahun ini, 2025 menandakan ulang tahun ke-35 penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Sepanjang tiga dekad yang lalu, kedua-dua negara telah menikmati kerjasama rapat dan hubungan tradisional yang mesra berdasarkan penghormatan dan pemahaman bersama,” ujar Tuan Yang Terutama.
Setakat ini, kongsi Tuan Yang Terutama lagi, lapan mesyuarat jawatankuasa teknikal bersama telah diadakan antara kedua-dua negara dan diharap mesyuarat ke-9 akan diadakan tidak lama lagi dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, budaya, pelancongan dan lain-lain.
Dalam pada itu Tuan Yang Terutama antaranya turut menekankan dalam ucapannya, bahawa matlamat dasar luar negara utama kerajaan Iran adalah untuk menjamin kepentingan negara, menjaga keselamatan negara dan mengembangkan diplomasi ekonomi dengan wawasan meluaskan kepada mewujudkan hubungan politik, ekonomi dan budaya yang seimbang dengan semua negara.
“Republik Islam Iran terus menyokong dan bekerja untuk keamanan dan kestabilan di rantau ini berdasarkan prinsipnya dan pendirian bertanggungjawab yang memerlukan dialog dan kerjasama antara negara rantau ini,” tambahnya.
Sebagai kemuncak acara pada majlis berkenaan telah menyaksikan sesi memotong kek ulang tahun yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan bersama dengan TYT Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam serta isteri masing-masing.