Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Negara Brunei Darussalam dan Republik Islam Iran terus mempunyai hubungan persahabatan dan dua hala yang erat di mana kedua-dua buah negara mempunyai persamaan dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, sejarah, budaya dan agama.
Untuk meraikan hubungan itu, Kedutaan Republik Iran di sini telah memperingati Hari Kebangsaan Republik Islam Iran ke-39 di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.
Hadir bagi mewakili Negara Brunei Darussalam pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu di mana kehadirannya serta para jemputan khas dialu-alukan oleh Ketua Pemangku Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, Abolfazl Azimi.
Menurut Abolfazl, Republik Islam Iran dan Negara Brunei Darussalam berkongsi banyak persamaan budaya. Pada 30 tahun lalu, hubungan berkenaan telah dibentuk berdasarkan tiga komponen iaitu saling menghormati, menggalakkan hubungan dua hala dan saling membina kerjasama dalam multilateralisme.
Beliau berkata, Republik Islam Iran sangat mementingkan hubungannya dengan Negara Brunei Darussalam dan bersedia bagi mengukuhkan hubungan dua hala dalam semua bidang.



Tahun 2024 menandakan ulang tahun ke-34 penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara dan dalam tempoh tiga dekad berkenaan, kedua-dua negara telah menikmati kerjasama yang erat dan baik dengan hubungan tradisional atas dasar saling menghormati dan saling memahami dengan perkongsian beberapa lawatan yang terbaharu dan terutamanya lawatan ke Iran oleh wakil negara.
“Saya percaya masih terdapat banyak ruang dan kapasiti untuk kerjasama dalam ekonomi, perdagangan, pelaburan, kebudayaan dan pelancongan dan lain-lain.
“Hubungan dua hala antara Iran dan Brunei Darussalam akan diperluaskan lagi dan membuahkan lebih banyak hasil pada masa akan datang melalui usaha bersama dan keazaman berdasarkan rasa hormat dan faedah bersama.
“Untuk tujuan ini, Kedutaan Republik Islam Iran di Bandar Seri Begawan akan cuba sedaya upaya untuk menjadi pemangkin dalam menghubungkan kedua-dua negara,” tambahnya.
Majlis kemudian menyaksikan acara memotong kek sempena Hari Kebangsaan Republik Islam Iran yang disempurnakan bersama oleh Dato Seri Paduka Haji Sufian dan Abolfazl Azimi.

