Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JAN – Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam telah memperingati Hari Republik India yang ke-76 dengan majlis resepsi yang diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, semalam.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman bersama isteri.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Republik India dan Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan ucapan oleh Pesuruhjaya Tinggi Republik India, Tuan Yang Terutama Alok Amitabh Dimri.
Dalam ucapannya, Tuan Yang Terutama mengucapkan penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas sokongan kepada masyarakat India di Brunei. Beliau juga menekankan hubungan mesra yang telah terjalin antara India dan Brunei sejak penubuhan hubungan diplomatik pada tahun 1984.
Hubungan itu terus berkembang melibatkan pelbagai aspek yang berteraskan muhibah, saling hormat-menghormati, dan saling memahami, sekali gus meningkatkan kerjasama serantau dan pelbagai hala.
Tuan Yang Terutama turut mengingatkan bahawa tahun 2024 merupakan tahun bersejarah bagi hubungan dua hala India-Brunei, dengan lawatan rasmi pertama Perdana Menteri India, TYT Shri Narendra Modi ke Brunei Darussalam pada September 2024.
Dalam lawatan tersebut, TYT Modi dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengkaji secara menyeluruh hubungan dua hala serta merangka pelan masa depan untuk kerjasama.
Lawatan tersebut juga memperingati ulang tahun ke-40 kemerdekaan Brunei dan penubuhan hubungan diplomatik India-Brunei. Sejak lawatan tersebut, hubungan kedua-dua negara telah ditingkatkan ke tahap perkongsian yang lebih dipertingkatkan.
TYT Modi dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersetuju untuk memberi dorongan baru dalam memperkukuh pertukaran dua hala, terutamanya dalam bidang perdagangan, teknologi, kewangan, pendidikan, pertanian, pertahanan dan belia.
Tuan Yang Terutama juga menyentuh tentang peranan agenda ASEAN dalam hubungan antara Brunei dan India yang bertujuan untuk membentuk kerjasama secara pragmatik dan futuristik. Kedua-dua negara akan terus meningkatkan kerjasama dalam Forum ASEAN.
“Selain pertukaran peringkat tinggi, hubungan perniagaan India-Brunei terus diperkukuh, dengan komoditi utama seperti makanan, automotif, mesin dan daging. Kami juga terus bergantung pada bekalan tenaga Brunei untuk memenuhi keperluan sektor domestik India yang semakin berkembang,” kata Tuan Yang Terutama.
Majlis resepsi diakhiri dengan upacara memotong kek yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bersama TYT Alok Amitabh Dimri, diikuti dengan sesi bergambar ramai.