Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Kedutaan Besar Persekutuan Rusia di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Majlis Resepsi bertempat di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong kelmarin bersempena dengan Hari Rusia yang mencerminkan perpaduan, kemerdekaan dan kekuatan berterusan negara Rusia sebagai sebuah negara berdaulat.
Mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Md Isham bin Haji Jaafar. Turut hadir ialah para duta besar, pegawai kanan kerajaan, anggota kor diplomatik, serta jemputan khas dari pelbagai sektor.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Duta Besar Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mikhail Vladimirovich Baranov.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan Hari Rusia sebagai simbol perpaduan nasional dan kemajuan negara. Beliau turut menyatakan bahawa Rusia terus memainkan peranan penting dalam membentuk agenda global melalui kerjasama rapat dengan rakan-rakan strategik demi mewujudkan dunia yang lebih adil dan seimbang berasaskan undang-undang antarabangsa, kesaksamaan dan saling menghormati.

Beliau turut mengulas kejayaan Pengerusi BRICS 2024 oleh Rusia yang telah menyaksikan kemasukan Malaysia, Indonesia, dan Thailand sebagai rakan rasmi, di samping kemasukan rasmi Indonesia sebagai ahli penuh BRICS mulai 1 Januari selain menyentuh komitmen Rusia dalam kerjasama serantau menerusi Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), serta penegasan Rusia dalam mempertahankan kedaulatan dan keterbukaan kepada rundingan damai yang substantif.

Dalam konteks serantau, beliau menyatakan penghargaan terhadap peranan Brunei dalam mempromosi dialog inklusif melalui platform ASEAN dan menyambut baik pertemuan dua hala antara Menteri Luar Negeri Rusia, Sergey Lavrov dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan pada Julai 2024 lalu. Beliau juga memaklumkan mengenai lawatan Timbalan Menteri dari Jabatan Perdana Menteri Brunei ke Moscow dalam rangka Mesyuarat Pegawai Kanan Keselamatan ke-13, mencerminkan kerjasama yang semakin berkembang dalam bidang keselamatan.
Majlis kemudian diteruskan dengan sesi pemotongan kek perayaan Hari Rusia oleh Tuan Yang Terutama Duta Besar Rusia dan tetamu kehormat menggambarkan semangat persahabatan yang erat antara kedua-dua negara.