Saturday, December 21, 2024
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis resepsi perpisahan untuk duta Jepun dan Australia

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun, Tuan Yang Terutama Maeda Toru dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Luke Arnold yang akan menamatkan perkhidmatannya ke negara ini telah diraikan dalam Majlis Resepsi Makan Malam Perpisahan di Hotel Radisson, di sini, malam tadi.

    Majlis resepsi yang dianjurkan oleh Kor Diplomatik di Negara Brunei Darussalam berkenaan diadakan untuk menghargai dan mengenang segala jasa dan sumbangan yang diberikan oleh kedua-dua TYT Maeda Toru dan TYT Luke Arnold sepanjang berkhidmat di negara ini.

    Majlis terdahulu dimulakan dengan sesi bergambar ramai di hadapan mural hotel diikuti dengan ucapan PYT Gerda Winkler selaku Dekan Kor Diplomatik.

    Beliau berkata, “ucapan perpisahan ini sangat sukar untuk diucapkan kepada rakan-rakan yang telah kami hargai selama bertahun-tahun, lebih-lebih lagi kerana kami adalah sebuah komuniti kecil yang rapat di bandar, yang terasa seperti keluarga.”

    Dekan itu menekankan sumbangan besar kedua-dua duta tersebut, termasuk usaha mereka dalam memudahkan lawatan negara.

    TYT Maeda Toru dan TYT Luke Arnold serta PYT Gerda Winkler bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    PYT Gerda Winkler menyampaikan ucapan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH: Antara yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Tempoh perkhidmatan mereka juga merangkumi penyeliaan sambutan ulang tahun ke-40 hubungan dua hala dengan Brunei dan penyertaan dalam Sidang Kemuncak Dialog ASEAN.

    PYT Gerda Winkler berkata, “kedua-dua mereka mempunyai hubungan yang rapat dan mesra dengan Brunei dalam banyak aspek, bukan sahaja politik tetapi juga dalam bidang ekonomi, iklim, pendidikan, dan budaya.”

    Mme Leliana, isteri TYT Arnold, turut dihargai atas penglibatannya yang aktif dalam komuniti diplomatik.

    PYT Gerda Winkler mengakui, “Mme Leliana bukan sahaja merupakan sokongan kuat kepada kerja Luke, tetapi juga ahli yang sangat aktif dalam komuniti diplomatik kami, terutamanya dalam kumpulan isteri dan ketua misi wanita.”

    TYT Maeda akan memulakan tugasan barunya di Kathmandu, Nepal, sementara TYT Arnold, Mme Leliana, dan anak-anak me-reka akan kembali ke Canberra, Australia.

    Sebagai tanda penghargaan, kad perpisahan telah diserahkan kepada kedua-dua duta tersebut, dan sejambak bunga telah dihadiahkan kepada Mme Leliana.

    PYT Winkler menutup majlis dengan mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua duta tersebut atas persahabatan dan perkhidmatan mereka, sambil menambah, “Kami mengucapkan yang terbaik untuk usaha mereka pada masa hadapan.”

    Majlis ini menekankan sifat rapat komuniti diplomatik di Bandar Seri Begawan serta hubungan yang berterusan antara Brunei, Jepun, dan Australia.

    Majlis makan malam yang dihadiri oleh ahli-ahli korporat diplomatik ini menandakan berakhirnya perkhidmatan diplomatik kedua-dua duta tersebut di Brunei.

    Kedua-dua diplomat ini telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 24 Mei 2022.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda