Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis resepsi rai jemputan Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Bagi meraikan para ucaptama serta jemputan bagi Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i bersempena 60 Tahun Penubuhan Institusi Fatwa Negara Brunei Darussalam, satu majlis resepsi makan malam telah diadakan di Restoran Tarindak D’Polo, Royal Brunei Polo dan Riding Club, Jerudong, pada 3 Jun lalu.

    Terdahulu, Pemangku Pengarah Pentadbiran, Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Saiful Nizam bin Haji Sulaiman yang juga selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Kerja Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i dalam ucapan alu-aluannya antaranya berkata persidangan berkenaan bukan sekadar wadah bagi perbincangan ilmiah, bahkan ia merupakan peluang bagi kita memperkukuhkan kefahaman terhadap prinsip-prinsip Mazhab Syafi’i yang menjadi pegangan umat Islam di rantau ini.

    Jelasnya, ia bertujuan untuk membicarakan bagaimana Mazhab Syafi’i dapat terus berkembang dan diaplikasikan dalam menghadapi cabaran realiti masyarakat digital dalam dunia tanpa sempadan dan perkembangan teknologi.

    “Kehadiran para cendekiawan dan ilmuan serta pakar dari pelbagai negara, membuka peluang bagi kita bersama-sama untuk meneliti kaedah dan metodologi yang mengimbangi relevannya Mazhab Syafi’i dengan tuntutan zaman yang terus berkembang,” tambah beliau.

    Di antara pengisian majlis, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) memperluaskan lagi jaringan kerjasamanya melalui penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) bersama beberapa buah institusi pengajian luar yang menghadiri Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i.

    Oleh itu, menandatangani MoU bagi pihak UNISSA ialah Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal yang juga selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Pandu Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i, bersama ketua-ketua perwakilan dari International Islamic Fiqh Academy, Jeddah, Kerajaan Arab Saudi dan Universitas Islam Negeri Sunan Ampel, Surabaya, Indonesia.

    Dengan termeterainya penandatangan bersama institusi-institusi pengajian tinggi luar negara tersebut adalah merupakan platform ke arah perancangan-perancangan kolaborasi yang akan dirancang demi manfaat bersama khususnya mengukuhkan kedudukan UNISSA sebagai hab pengajian tinggi Islam global.

    Turut hadir ke majlis tersebut ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin; tetamu-tetamu khas dari dalam dan luar negara; penaja-penaja; pegawai-pegawai utama UNISSA serta para peserta persidangan.

    ATAS & BAWAH : Sesi menandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara UNISSA bersama beberapa buah institusi pengajian luar yang menghadiri Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    GAMBAR SERAHAN UNISSA
    Para ucaptama serta jemputan bagi Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i Bersempena 60 Tahun Penubuhan Institusi Fatwa Negara Brunei Darussalam, semasa majlis resepsi makan malam yang diadakan pada 3 Jun lalu. – GAMBAR SERAHAN UNISSA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda