Tular di aplikasi TikTok video personaliti media sosial Aiman Tak Kesah berduet bersama penyanyi Zizi Kirana sewaktu majlis resepsinya pada Ahad lalu.
Bagaimanapun persembahan Aiman atau Khairul Aiman Abdul Kudus, 21, itu menerima kecaman warganet gara-gara nyanyiannya dikatakan sumbang dan merosakkan lagu Alhamdulillah dendangan Too Phat dan Yasin, kongsi mStar.
“Baik Aiman buat live jual baju bundle je macam biasa, bakat yang perlu dipendam.
Sebaiknya awak duduk diam bersanding je, jadi pengantin sahaja, tak perlu menyanyi sekali.
“Kadang-kadang kena sedar diri juga, kalau setakat hafal lagu tu tak semestinya Aiman ni boleh nyanyi,” tulis warganet.
Dalam pada itu, isteri Aiman yang juga seorang pempengaruh iaitu Siti Jamumall berkata gelaran ‘pengantin sampah’ yang diberikan warganet kepada mereka tidak memberi kesan.
Sebaliknya, Siti atau Siti Suriani Wahiddin, 26 dan Aiman menjalani kehidupan sebagai suami isteri seperti biasa dan menganggap kecaman diterima sebagai penguat mereka untuk terus berjaya.
“Bertahun-tahun Siti dan Aiman buat live (siaran langsung). Dari awal sehingga kini banyak kecaman seperti kata kami pengantin sampah.
“Kecaman mereka menjadikan kami lebih bersemangat untuk terus kuat ketika membuat live agar terus berjaya pada masa hadapan,” jelasnya.
Sementara itu, Siti turut mendedahkan kos keseluruhan majlis resepsi mereka mencecah lebih RM300,000. – Agensi