Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) melalui Pusat Standard dan Akreditasi Brunei Darussalam (PSABD) menyambut Hari Piawaian Sedunia 2025 yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan tema Shared Vision for a Better World.
Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin, telah menyempurnakan majlis berkenaan pagi tadi.

Pada majlis berkenaan, Dr Hajah May Fa’ezah turut melancarkan logo baharu Majlis Standard dan Akreditasi Brunei Darussalam (MSABD) dan PSABD yang melambangkan komitmen baharu negara dalam membina identiti nasional yang dipercayai dalam bidang piawaian, akreditasi dan inovasi.
Pemangku Pengarah PSABD, Dayangku Hajah Nadiah Annasyitah binti Pengiran Datin Paduka Haji Abu Bakar, dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawa piawaian merupakan asas tidak kelihatan yang membentuk kepercayaan, kualiti dan keselamatan yang menyokong aspirasi negara di bawah Wawasan Brunei 2035 dan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).

Beliau turut menjelaskan bahawa Brunei Darussalam telah mencapai kemajuan berterusan dalam pembangunan Piawai Brunei Darussalam (PBD) yang merangkumi pelbagai bidang termasuk keselamatan makanan, pertanian, pembuatan dan pembungkusan.
Inisiatif ini bertujuan untuk menyokong industri tempatan, melindungi pengguna dan memastikan produk negara mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Majlis turut diserikan dengan seminar pada sebelah pagi bertemakan Exploring the Benefits of Standards and its Contribution to Sustainable Development Goals, yang menampilkan pembentangan daripada wakil PSABD, Jabatan Standard Malaysia (JSM), Pihak Berkuasa Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA) serta Pihak Berkuasa Makanan Brunei Darussalam (BDFA).
Seminar berkenaan menekankan kepentingan pembangunan PBD, perkongsian pengalaman Malaysia dalam memanfaatkan piawaian untuk perdagangan, serta peranan piawaian keselamatan dan makanan dalam melindungi kesihatan awam, alam sekitar dan menyumbang kepada pencapaian SDG.

Penolong Pengarah Bahagian Pematuhan dan Antarabangsa, SHENA, Yang Mulia Dayang Nadiah Hanim binti Haji Md Salleh, pula bertindak sebagai moderator bagi forum pada sebelah petang bertemakan Standards Driving MSMEs: Building Stronger Businesses for Wawasan 2035. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap MOFE, Mohammad Harris bin Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.
Forum berkenaan menampilkan ahli panel daripada Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Negara Brunei Darussalam (NCCIBD) serta wakil syarikat tempatan SPHI Foods (Satay Haji Ibrahim) dan Serikandi Group of Companies.
Ahli-ahli panel akan berkongsi pengalaman, cabaran serta manfaat dalam mematuhi piawaian antarabangsa dan menyeru Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) agar menjadikan piawaian sebagai peluang ke arah pertumbuhan dan ketahanan perniagaan.
Sambutan Hari Piawaian Sedunia 2025 ini menegaskan tumpuan strategik PSABD dalam memperkasa sektor perniagaan dan melindungi pengguna melalui rangka kerja piawaian dan akreditasi yang kukuh sebagai satu langkah penting ke arah mencapai visi jangka panjang negara di bawah Wawasan Brunei 2035.
